JADUAL saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang bakal menggunakan format satu pusingan bermula September depan tidak mendatangkan masalah sebaliknya disifatkan sebagai norma baharu kepada beberapa pasukan.
Menurut Pengurus UiTM FC, Mustaza Ahmad, skuad muda kendali Frank Bernhardt sudah bersedia fizikal dan mental bagi mengharungi saingan Liga Super selepas saingan ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 sejak 16 Mac lalu.
"Saya tidak nafikan berkemungkinan ada setengah pasukan atau kelab mengharapkan aura keramat laman sendiri untuk meraih tiga mata penting sekiranya liga disambung pada September depan.
"Tapi saya yakin bahawa pemain UiTM FC tidak berdepan masalah sama ada terlebih bermain di laman sendiri atau laman lawan walaupun saingan akan diadakan secara sepusingan kerana ia lebih kepada norma baharu Liga-M.
"Jika diikutkan dalam empat perlawanan sebelum ini pun rekod pencapaian The Lions sebagai pendatang baharu Liga Super boleh dibanggakan kerana mampu memberi saingan kepada gergasi seperti Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT)," katanya kepada Sinar Harian.
Mustaza berkata demikian ketika mengulas sama ada saingan liga sepusingan ini bakal memberi tekanan kepada pasukan atau kelab yang lebih banyak beraksi di laman lawan.
Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum ini mengesahkan kempen musim ini akan diteruskan pada September depan dengan format pertandingan turut dirombak dengan aksi Liga Super dan Liga Premier dilangsungkan secara satu pusingan.
Saingan kedua-dua liga itu akan bermula 1 hingga 27 September sebelum disambung dengan aksi Piala Malaysia dari Oktober hingga November.
Keyakinan sama juga disuarakan Kuala Lumpur yang menyifatkan skuad The Hawks itu sudah bersedia mengharungi baki saingan Liga-M berkenaan.
Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustafa, pihaknya melihat format satu pusingan sebagai sesuatu norma baharu Liga-M kepada skuad kendalian Mohd Nidzam Adzha Yusoff berkenaan.
"Ikutkan aksi kami di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur musim ini boleh dibanggakan begitu juga aksi di laman lawan apabila pemain memberikan persembahan yang terbaik.
"Cumanya bagi saingan baki Liga-M yang bakal bermula September depan, saya menyifatkannya sebagai satu cabaran kepada skuad The Hawks untuk mengekalkan momentum positif," katanya.