PASIR MAS - Tempahan dan jualan baju raya dianggarkan merosot sehingga 80 peratus ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan bermula 18 Mac lalu bagi mengekang penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
Tukang jahit, Rohani Harun, 50, berkata, suasana Ramadan kali ini cukup berbeza apabila buat pertama kalinya menyambut Ramadan tanpa ditemani kain bertimbun.
"Ramadan tahun ini kami cuti panjang. Biasanya saya siapkan dua pasang baju raya sehari ketika ini.
"Tapi sekarang lebih banyak masa dihabiskan dengan memasak dan meluangkan masa bersama keluarga," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Bunut Susu di sini.
Bagaimanapun, katanya, dia tidak tertekan dengan situasi itu sebaliknya faham dengan apa yang berlaku ketika ini.
"Semua orang terjejas dengan Covid-19 ini termasuklah para pelanggan saya sebab susah nak beli kain pasang dan pilihan terhad.
"Ada yang tidak dapat pulang beraya ke kampung menyebabkan tiada tempahan dibuat. Saya terima dengan hati terbuka dan percaya ALLAH akan menggantikan dengan rezeki lebih baik," katanya.
Sementara itu, seorang pemilik butik, Rohul Hafizah Ashaari, 36, mendedahkan persiapan menyambut Aidilfitri kali ini suram berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Rohul Hafizah yang juga pemilik De Rhas Collection tanpa berselindung mengakui banyak kerja-kerja terutama mendapatkan barangan mentah seperti kain dari Vietnam dan Indonesia terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan.
"Kebiasaan setiap kali Ramadan, saya dan pekerja akan menerima tempahan baju raya lebih daripada 1,000 pasang, namun untuk tahun ini hanya menerima tempahan sebanyak 500 pasang.
"Disebabkan sukar untuk mendapatkan barang mentah serta kain terkini, situasi itu menyebabkan para pelanggan tidak dapat membuat pilihan tema untuk sambutan Aidilfitri sekali gus menyebabkan banyak tempatan terpaksa dibatalkan," katanya.
Menurutnya, kali ini, dia dan pekerjanya lebih banyak 'berehat' daripada menyiapkan tempahan sambil memberitahu para pelanggannya turut melahirkan rasa sedih kerana tidak dapat menempah baju raya mengikut tema sepertimana dilakukan setiap tahun.
Bagaimanapun, Rohul Hafiza reda dengan situasi yang sedang melanda ketika ini dan menganggapnya sebagai ujian kerana semua pihak merasai 'penangan' Covid-19.