MYDIN Mohamed Holdings Berhad (Mydin) menawarkan penjimatan harga melibatkan 9,000 produk di Shopee sempena Super Brand Day (SBD) bermula dari 4 hingga 8 Mei ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata, pelanggan boleh mendapatkan barangan berkenaan secara dalam talian dengan mudah dan cepat sekali gus mematuhi seruan kerajaan untuk duduk di rumah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Pengguna boleh mendapatkan pelbagai pilihan barangan seperti kelengkapan rumah, makanan ringan, produk penjagaan diri dan pelbagai lagi.
"Kempen yang berlangsung selama lima hari ini dengan tarikh SBD pada 6 Mei bakal menyaksikan tawaran menarik pelbagai produk serta peraduan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Ameer berkata, dalam tempoh SBD pengguna juga boleh menikmati pelbagai barangan dengan jaminan harga serendah RM10 dan Bundle Buy More Save More untuk penjimatan pelanggan.
"Malah, pengguna juga berpeluang memenangi hadiah hebat melalui peraduan ‘Belanja & Menang’.
"Caranya mudah iaitu dengan berbelanja minimum RM70 di kedai rasmi Mydin dan menangi pelbagai hadiah menarik dan baucar tunai,” katanya.
Dalam pada itu, Ameer memberitahu, pihaknya turut mewujudkan kempen Tabung MYDIN Prihatin bagi membantu golongan yang memerlukan. Katanya, sumbangan diterima akan disalurkan kepada golongan kurang bernasib baik.