SUBANG JAYA - Pengendali rangkaian peruncitan produk halal tempatan, Mydin Mohamed Holdings Berhad mengambil inisiatif dengan memastikan semua pelanggannya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan menerusi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula semalam.
Pengarah Urusannya, Datuk Wira Ameer Ali Mydin berkata, bagi tujuan itu, pihaknya sentiasa memastikan aspek penjarakan sosial antara pelanggan diberi keutamaan khususnya melibatkan seksyen pembelian barangan basah.
Beliau berkata, pelanggan yang ingin memasuki premis mereka juga perlu menjalani ujian saringan suhu terlebih dahulu.
"Selain itu, kami turut menyediakan terowong sanitasi di Mydin Cawangan USJ dan semua pelanggan perlu jalan melaluinya sebelum masuk ke pasar raya kami,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Kerajaan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan PKPB bagi merancakkan semula sektor ekonomi negara selepas terkesan ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.
Mengulas mengenai pelaksanaan PKPB itu, Ameer berkata, walaupun kerajaan memberi kelonggaran dalam beberapa sektor, namun orang ramai dilihat masih mengambil langkah berjaga-jaga dan tidak berani untuk keluar ekoran penularan wabak ini.
"Sebagai contoh, pelanggan kami pada hari ini juga tidak begitu ramai seperti hujung minggu lalu.
"Maksudnya di sini walaupun kerajaan beri kelonggaran, namun rakyat masih berjaga-jaga dengan penularan wabak Covid-19,” katanya.
Ameer berkata lagi, mana-mana pelanggan mereka yang ingin mendapatkan barangan keperluan secara dalam talian boleh berbuat demikian menerusi platform Mydin Express yang memberikan kemudahan kepada orang ramai.
"Platform Mydin Express memberikan kemudahan kepada orang ramai membeli barangan keperluan melalui laman web https://mydinexpress.my tanpa mengunjungi pasar raya kami,” katanya.