KUALA NERANG - [DIKEMAS KINI] Bunyi bising dari sebuah reban ayam ketika sahur pagi tadi di Kampung Kubang Palas, Padang Sanai dekat sini mengejutkan pemiliknya selepas mendapati seekor ular sawa batik berada di atas alang reban ayam tersebut.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Padang Terap, Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pemilik terbabit Romli Ismail kira-kira jam jam 5 pagi.
Iklan
Iklan
Menurutnya, tiga anggota yang diketuai Lans Koperal (PA) Mohd Zuki Mahamud tiba di lokasi kejadian pada jam 5.22 pagi.
"Setelah diperiksa oleh anggota, didapati seekor ular sawa berukuran lebih 2 meter berada di dalam reban sedang membelit seekor ayam," katanya.
Mohd Shukri berkata, anggotanya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk menangkap ular yang dianggarkan seberat kira-kira 10 kilogram tersebut kerana berada di tempat yang sukar.
Bagaimanapun, reptilia itu sempat menelan dua ekor ayam milik Romli.