PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) sedia membantu semua pihak termasuk pemain dan pegawai jika merasakan pasukan melanggar garis panduan pemotongan gaji yang telah diumumkan badan induk itu minggu lalu.
Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, setiap pasukan juga perlu bertindak jujur dan hanya melakukan pemotongan gaji berdasarkan masalah kewangan yang dihadapi.
"Sudah menjadi tanggungjawab setiap pasukan untuk mengikut garis panduan yang telah dikeluarkan dan memastikan pemotongan gaji dibuat berdasarkan keadaan semasa kewangan pasukan.
"Bukan sebab FAM kata tolak 30 peratus, maka pasukan pun tolak 30 peratus, itu hanya garis panduan. Pasukan perlu bertanggungjawab untuk memastikan kadar potongan ikut keadaan kewangan masing-masing.
"Jika ada pihak sama ada pemain atau pegawai yang rasa teranaiya dan pemotongan melangkaui garis panduan tersebut, maka mereka boleh datang kepada FAM untuk kami bantu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
FAM telah mengeluarkan garis panduan pemotongan gaji dengan kategori pertama iaitu gaji RM4,999 dan ke bawah melibatkan pemotongan 10 peratus; kategori kedua, RM5,000-RM9,999 (15 peratus); kategori ketiga, RM10,000-RM14,999 (20 peratus) dan kategori keempat, RM15,000 dan ke atas (30 peratus).
Pada sama sama, FAM turut menubuhkan unit khas untuk berhubung dan berkomunikasi dengan mana-mana ahli gabungan dan kelab, pemain dan pegawai bagi membantu dari segi proses dan pelaksanaan garis panduan ini.
Stuart turut mengingatkan setiap pasukan supaya bersikap profesional memandangkan FAM tidak mempunyai keupayaan untuk mengesahkan setiap penyata untung rugi pasukan sebelum menentukan kadar potongan gaji pemain dan pegawai.
"Kami juga yakin pasukan tidak mahu mencari pertikaian dan terus mengekalkan konsep harmoni dengan pemain dalam keadaan kritikal sebegini. Kami juga tidak menetapkan garis masa untuk pemotongan gaji itu dilakukan dan ia terpulang kepada pasukan untuk berbincang dengan pemain.
"Matlamat garis panduan ini jelas supaya pasukan tidak sesuka hati memotong gaji pemain sehingga 60 atau 70 peratus dalam keadaan tidak perlu dan dalam masa sama membantu pasukan untuk terus hidup.
"Justeru, mana-mana pasukan yang berdepan masalah atau ada pemain mahupun pegawai berasa teranaiya, boleh berjumpa unit khas yang ditubuhkan FAM untuk bantuan sewajarnya,” jelasnya.