KUANTAN - Polis Pahang akan menjadikan amalan membaca al-Quran dalam kalangan pegawai dan anggota beragama Islam sebelum memulakan tugas harian setiap hari.
Ketua Polis Pahang, Datuk Abd Jalil Hassan berkata, amalan membaca al-Quran bukan hanya ketika tugasan Ops Covid-19 yang dilaksanakan ketika ini malah perlu berterusan sepanjang masa.
Menurutnya, beliau yakin dengan membudayakan amalan membaca al-Quran akan memberi ketenangan dan semangat kepada pegawai dan anggota dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.
"Insya-ALLAH, anggota yang bertugas di lokasi sekatan jalan Ops Covid-19 di seluruh negeri juga boleh menggunakan waktu rehat masing-masing untuk membaca al-Quran lebih-lebih lagi dalam keberkatan bulan Ramadan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima penyerahan 1,500 naskhah al-Quran oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan Kumpulan Karangkraf di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini petang semalam.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.
Turut hadir, Pengerusi Sekretariat Rumah Ngaji Pahang, Md Abdu Sahak dan Ketua Jabatan Pengurusan, Asisten Komisionar Wan Mohd Zahari Wan Busu dan Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Superintendan Sulaiman Staffa.
Abd Jalil berkata, beliau mewakili Polis Pahang berterima kasih kepada pihak WUIF dan Kumpulan Karangkraf atas sumbangan wakaf al-Quran tersebut.
"Melalui sumbangan kitab suci itu, Insya-ALLAH ia akan dimanfaatkan dan menjadi pemangkin semangat pegawai dan anggota dalam menjalankan tugas demi negara, agama dan bangsa.
"Kita akan edarkan al-Quran ini antaranya kepada anggota yang bertugas di 58 sekatan jalan Ops Covid-19 seluruh Pahang terutama di lokasi sekatan yang mempunyai khemah,"katanya.
Sementara itu, Muhammad Nasir berkata, pihaknya hanya menunaikan amanah dengan menyerahkan naskhah al-Quran yang diwakafkan orang ramai melalui tabung sumbangan yang dilancarkan WUIF dan Kumpulan Karangkraf.
Menurutnya, tabung itu dilancarkan bagi membolehkan orang ramai mewakafkan al-Quran khas untuk petugas barisan hadapan termasuk kesihatan dan keselamatan.
"Sambutan dana yang disalurkan amat menggalakkan dan setakat ini kami menerima wakaf 40,000 naskhah pada fasa pertama dan jumlah yang sama juga diterima pada fasa kedua untuk diedarkan kepada petugas barisan di seluruh negara.
"IPK Pahang merupakan ibu pejabat polis kontinjen ketiga yang menerima sumbangan al-Quran ini selepas IPK Kelantan dan Terengganu," katanya.
Selain itu, beliau turut mengajak orang ramai mengikuti program bacaan al-Quran melalui platform TV Al-Hijrah dengan menyertai bacaan di rumah bersama keluarga masing-masing.
"Ia sebagai wadah untuk keluarga dalam menyemarakkan amalan membaca, menghafal, menghayati dan memahami kandungan al-Quran sebagai pedoman kehidupan.
"Selain itu, program bacaan al-Quran secara serentak World Quran Hour (WQH) juga akan bersiaran secara langsung di saluran TV Al-Hijrah pada jam 12 tengah hari hingga 1 tengah hari pada 13 Mei bersamaan 22 Ramadan ini," katanya.
Beliau berkata, jika pada tahun-tahun sebelum ini WQH diadakan secara besar-besaran membabitkan ribuan peserta di lokasi tertentu, namun tetapi kali ini berbeza kerana perlu dilakukan di rumah ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).