KANGAR - Polis Perlis menghargai sumbangan 500 naskhah al-Quran kepada anggotanya menerusi Program Wakaf Quran Mu'Jam yang digerakkan oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).
Timbalan Ketua Polis Perlis, Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, beliau yang mewakili Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad mengucapkan jutaan terima kasih atas ingatan dan sumbangan kepada kontinjen negeri tersebut.
Menurutnya, pihaknya bersedia untuk menyertai dan menyokong sebarang aktiviti yang digerakkan oleh WUIF seperti World Quran Hour selepas ini.
"Diharapkan dengan semangat al-Quran ini dapat memberikan galakan dan juga motivasi kepada pasukan polis di Perlis ini untuk terus membacanya termasuk memahami setiap terjemahan ayat-ayat sucinya.
"Selain sering membaca kitab suci ini, ia secara tidak langsung dapat memupuk anggota untuk memahami maksud dan isi kandungannya," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Sumbangan tersebut disampaikan Wakil Penyelaras Rumah Ngaji Perlis, Harmi Puteh dan turut hadir Penyelaras Rumah Ngaji Kedah, Saloni Mustaffa.
Sementara itu, Harmi berkata, disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang melarang sebarang program berkumpul beramai-ramai pihaknya menyarankan aktiviti membaca al-Quran diadakan di setiap balai polis di seluruh negeri dengan memperuntukkan masa 20 minit hingga 40 minit membaca kitab suci itu.
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada IPK Perlis yang menyambut baik program wakaf al-Quran ini. Saya juga bagi pihak WUIF mendoakan agar para petugas barisan hadapan mendapat kekuatan dan terus bersabar dalam melaksanakan tugas di dalam menghadapi ujian Covid-19 ini, insya-ALLAH pertolongan ALAH tetap akan tiba,"katanya.