Masa terbaik untuk pengagihan kuasa Pusat kepada negeri

Iklan
Liew Chin Tong

SEMBILAN daripada 13 negeri telah mengingkari keputusan yang agak tergesa-gesa oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuka semula ekonomi, manakala dua lagi (Johor dan Melaka) masih belum membuat keputusan.

Bagi mereka yang mempelajari Perlembagaan Persekutuan, ini merupakan satu titik perubahan dalam perkembangan federalisme negara ini.

Iklan
Iklan

Ia juga saat jatuhnya air muka dan kredibiliti Muhyiddin.

Lima daripada sembilan negeri ini memihak kepada gabungan Pakatan Harapan ‘plus’ iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Sabah.

Iklan

Kerajaan negeri-negeri lain, meski memihak kepada kerajaan Perikatan Nasional, turut sama bertindak bertentangan dengan keputusan kerajaan Pusat.

Sebelum ini, kerajaan Perikatan Nasional telah melakukan begitu banyak kesilapan berkait urusan negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu.

Iklan

Pertama, Muhyiddin membuat pengumuman tergesa-gesa pada jam 10 malam, Isnin 16 Mac bahawa negara akan dikenakan perintah berkurung bermula 12 tengah malam, hari Rabu 18 Mac. Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri, bersekali dengan rakyat yang lainnya, dimaklumkan melalui perutusan secara siaran langsung dan bukan terlebih dahulu.

Apa yang jelas, kerajaan Persekutuan sepatutnya menghubungi kerajaan negeri, berunding dan memberi ruang bersiap sedia sebelum membuat pengumuman yang sedemikian penting kepada orang awam.

Kerajaan Negeri Johor menerima kesan yang hebat akibat ratusan ribu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura terpaksa membuat keputusan segera tentang perjalanan mereka berulang-alik ke negara itu, sedangkan kerajaan negeri tidak dapat bertindak kerana tidak dimaklumkan lebih awal.

Pada 17 Mac, sebuah mesyuarat dengan para menteri besar dan ketua menteri diadakan. Negeri-negeri yang tidak ditadbir Perikatan Nasional dikecualikan. Langkah partisan ini tentunya mencetuskan kemarahan seluruh negara. Lantas kerajaan menyalahkan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Seterusnya, kerajaan Persekutuan kini terus mengabaikan negeri-negeri dengan menjadikan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai ‘kementerian super’ dalam proses tidak mengendahkan peranan pihak berkuasa tempatan.

Ketiga, entah atas sebab apa, kerajaan telah menugaskan MITI untuk membuka sektor ekonomi terpilih dan membiarkan ia menguruskan permohonan syarikat-syarikat untuk kembali beroperasi.

MITI sebenarnya tidak pernah memiliki perkakas dan mekanisme untuk menguruskan sektor selain pembuatan.

Jelas sekali, agensi yang sepatutnya menguruskan pelesenan di peringkat bawah iaitu pihak berkuasa tempatan yang pastinya tahu kedai dobi mana (contohnya) yang terletak di jalan mana dan apa situasi di tempat itu.

Kerajaan Persekutuan sepatutnya menggubal SOP untuk pembukaan semula dan membiarkan kerajaan negeri melaksanakannya melalui pihak berkuasa tempatan.

Keempat, sepanjang tempoh PKP, Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga dilihat bermain politik dalam pengagihan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Cara yang terbaik pastinya dengan kerjasama Pejabat Daerah di bawah bidang kuasa negeri masing-masing dan bertindak melalui wakil rakyat tempatan - tanpa mempedulikan garis politik.

Kelima, tidak wujudnya pendekatan kerajaan-keseluruhan yang mencukupi, tidak kira secara mendatar atau menegak. Secara mendatar, tangan kiri kerajaan (ekonomi atau keselamatan, contohnya) tidak tahu apa yang dibuat tangan kanan (kesihatan, contohnya); dan keputusan dibuat sama ada tanpa kefahaman yang tepat tentang idea pembatasan sosial (yang mengakibatkan tangkapan besar-besaran pelarian dan migran, yang pastinya menyebabkan mereka menyorok ketakutan dan tidak menawarkan diri untuk penyaringan); atau tanpa konsultasi (termasuklah keputusan membuka kedai gunting rambut oleh Azmin Ali).

Turut dapat dilihat betapa tidak berminatnya agensi pusat untuk bekerjasama secara vertikal antara pihak berkuasa tempatan dan negeri.

Sekarang kita berbalik semula kepada ‘undi tidak percaya’ kerajaan-kerajaan negeri terhadap keputusan Muhyiddin untuk membawa ke hadapan proses pembukaan semula ke 4 Mei, berbanding tarikh sepatutnya PKP fasa empat berakhir pada 12 Mei.

Harapnya, pihak Perdana Menteri akan sedar bahawa zaman kerajaan-satu-parti lebih tinggi darjatnya daripada negeri-negeri dan perkhidmatan awam telah berakhir pada 9 Mei 2018.

Kerajaan Persekutuan pra 2018 dapat memujuk dan memaksa negeri menuruti kehendak pusat kerana UMNO menguasai kebanyakan negeri. Walaupun Pas telah mentadbir Kelantan sejak 1990 dan beberapa negeri telah ditadbir Pakatan Rakyat/Harapan sejak 2008, UMNO masih mampu mengawal melalui arahan Perdana Menteri kepada ketua-ketua perhubungan UMNO negeri dan melalui lantikan Pusat dalam kalangan penjawat awam di negeri-negeri Pakatan.

Aspek ini dalam norma baharu politik Malaysia sudah pun berakar. Perdana Menteri Malaysia sudah tidak lagi boleh mengawal negeri dengan hanya berwasilahkan parti. Bahkan Muhyiddin pun tidak mengawal parti-parti gabungan Perikatan Nasional.

Tiada Menteri Besar atau Ketua Menteri akan mengikut arahannya, kecuali dengan paksaan undang-undang.

Sementara Muhyiddin hanya ada maksimum 113 kerusi di Parlimen - satu kerusi lebih daripada majoriti mudah - penjawat awam turut bertindak dengan berhati-hati.

Muhyiddin akan sentiasa terpaksa memujuk dan berunding.

Mempunyai sistem kerajaan di peringkat negeri dalam struktur Perlembagaan negara adalah satu rahmat yang wajar dimanfaatkan sepenuhnya.

Struktur negeri ini adalah legasi krisis Malayan Union 1946 yang menyebabkan British menggugurkan idea pembentukan sebuah negara unitari, dan sebaliknya menerima idea Persekutuan Malaya 1948.

Pun begitu, federalisme hari ini adalah lebih berpusat berbanding sewaktu ia dimulakan, terutamanya dalam segi kuasa berkanun dan kewangan. Itulah rangka kerja yang menjadi akar keputusan-keputusan salah Muhyiddin sepanjang bulan lalu.

Di India atau Australia, yang mempunyai kerangka perlembagaan yang hampir sama dengan Malaysia; pempolisan, hospital dan khidmat kesihatan serta kebanyakan institusi pendidikan adalah di bawah bidang kuasa negeri, bukan kerajaan Pusat.

Sambil kita bersiap sedia untuk satu perjuangan yang panjang, mengharungi Covid-19 akan menuntut pertimbangan semula peranan dan fungsi negeri, dan menyertakannya dalam strategi survival negara. Pengagihan kuasa dan delegasi tugasan kepada negeri adalah satu-satunya cara untuk menang dalam perjuangan ini.

Secara idealnya, dalam tahun-tahun akan datang, kerajaan Pusat akan berkongsi hasil cukai dengan negeri-negeri. Ini lebih baik berbanding keadaan di mana beberapa tahap kerajaan berkongsi pendapatan daripada hasil asli seperti minyak atau mengehadkan negeri kepada hanya hasil tanah, balak dan hartanah. Aturan sedia ada menggalakkan kerajaan negeri untuk tidak peduli tentang iklim dan alam sekitar.

Berkongsi hasil cukai yang dikumpul dalam negeri akan memberi insentif kepada negeri untuk berusaha menambah bahagiannya dalam perkongsian ekonomi negara kerana negeri mendapat manfaat secara langsung.

Ini akan memupuk koordinasi kerajaan Persekutuan-negeri dalam hal ehwal perkembangan ekonomi. Dengan bertambah baiknya ekonomi negeri, lebih banyak lah cukai untuk kedua-dua pihak negeri dan Persekutuan.

Dengan lebih banyak hasil, negeri akan seterusnya mampu memainkan peranan yang lebih besar dalam pempolisan setempat, pendidikan dan khidmat kesihatan.

Ketika kami berada di Kementerian Pertahanan, Mohamad Sabu sebagai menteri dan saya sendiri sebagai timbalannya, cuba mengajukan pemikiran baharu tentang Askar Wataniah.

Daripada sekadar menjadi pasukan simpanan sebagai tambahan kepada Angkatan Tetap dalam situasi tempur, pasukan simpanan dapat dilatih dalam tugas bantuan bencana, justeru apabila bencana berlaku di sesebuah negeri, unit simpanan yang berkenaan dapat dikerah terlebih dahulu berbanding Angkatan Tetap dan bertindak lebih dahulu ketika berlakunya bencana di peringkat negeri, seperti banjir.

Jika ini dapat dilakukan, negeri dapat berkongsi beban belanja menguruskan pasukan simpanan seperti mana kerajaan-kerajaan negeri di Amerika Syarikat membiayai sebahagian daripada beban kos pasukan National Guard, secara langsung menambah kepada semangat kerjasama antara negeri dan kerajaan pusat.

Untuk bergerak maju dalam menangani Covid-19 serta cabaran akan datang, saya ingin mencadangkan supaya lima negeri yang memihak ‘Pakatan Harapan plus’, iaitu Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Sabah untuk memulakannya dengan saling berhubung dan bertindak secara satu blok bagi memberi keyakinan dan jaminan kepada orang awam.

Kerajaan Persekutuan telah menunjukkan bahawa ia tidak sebenarnya tahu bagaimana untuk mengkoordinasi, secara mendatar atau menegak, maka adalah menjadi tugas kelima-lima negeri ‘Pakatan Plus’ ini untuk bersatu merumus keputusan serta memimpin jalan ke arah norma baharu pentadbiran yang demokratik dan cekap. Tugas mereka selalunya bersifat konkrit dan tugas-tugas ini adalah teramat penting pada ketika kerajaan Persekutuan berada dalam keadaan tidak berdaya, terpecah dan keliru.

**Liew Chin Tong ialah Pengarah Strategik DAP