Kedah kuat kuasa PKPB serta-merta

Iklan
Mukhriz

ALOR SETAR - Kedah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa serta-merta bermula hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, keputusan itu selaras dengan pendirian kerajaan Persekutuan memandangkan Kedah tidak pernah menolak PKPB dan hanya menangguhkan pelaksanaan untuk penyelarasan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Iklan
Iklan

Menurutnya, semua aktiviti ekonomi yang dibenarkan kini boleh kembali beroperasi dengan mematuhi norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP).

"Sebelum ini, kita tangguh sehingga 5 Mei untuk perhalusi beberapa perkara. Sekarang kita kuat kuasakan dan tindakan kita itu tidak bertentangan dengan Persekutuan kerana ada terma yang nyatakan ada kuasa bawah PBT boleh dibuat pengecualian," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan negeri boleh kena saman: Azmin

Mukhriz berkata, semua premis makanan dan minuman perlu mematuhi SOP seperti ditetapkan kerajaan Persekutuan.

Iklan

"Namun hanya satu perbezaan iaitu tidak dibenarkan makan di restoran dalam tempoh PKPB, hanya boleh bungkus makanan, pandu lalu serta penghantaran khidmat makanan," katanya.

Beliau berkata, tempoh masa dibenarkan adalah dari 8 pagi hingga 8 malam kecuali restoran dikendalikan Muslim bermula pada 3 petang.

"Kita tidak benar lagi makan di restoran kerana masih banyak premis belum bersedia penuhi syarat ditetapkan seperti hanya empat orang untuk semeja dan jarak dua meter antara meja. Namun restoran boleh beroperasi mengikut kesesuaian yang diputuskan oleh PBT," katanya.

Menurutnya, sektor perkilangan juga kini dibenarkan beroperasi dengan mematuhi syarat ditetapkan kerajaan Persekutuan.

"Semua kilang perlu patuhi langkah ditetapkan sebelum mulakan operasi kilang antaranya sanitasi kilang dan sediakan topeng muka kepada pekerja. Jika ada aduan daripada pekerja wujud pelanggaran syarat oleh majikan, kita akan ambil tindakan," katanya.

Mukhriz berkata, terpulang kepada industri untuk melakukan tempoh persiapan sebelum mereka bersedia beroperasi.

"Sektor peruncitan dan pemborong serta pasar raya kini dibenarkan beroperasi dari 8 pagi hingga 8 malam.

"Sektor lain termasuk sukan dan rekreasi namun taman awam dan pusat rekreasi masih ditutup kepada orang awam, hanya riadah dalam taman perumahan dibenarkan selain aktiviti sukan individu," katanya.

Katanya, operasi pejabat kerajaan dan Persekutuan juga kini dibuka semula.

"Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah beri kebenaran kepada masjid untuk solat jemaah tidak melebihi tiga orang selain digalakkan anjur bacaan al-Quran asalkan patuhi SOP," katanya.

Dalam pada itu, Mukhriz turut menggalakkan rakyat Kedah agar menggunakan aplikasi MySejahtera dan MyTrace seperti diumumkan kerajaan Persekutuan.

"Saya syukur Kedah antara negeri yang dapat kawal penularan Covid-19 dengan baik, individu di pusat kuarantin kini 18 orang iaitu 16 di Hotel Seri Malaysia dan dua di Institut Aminudin Baki, mereka dibenarkan pulang esok," katanya.

Katanya, beliau juga mengingatkan rakyat Kedah agar terus mengamalkan penjarakkan sosial dan memakai topeng muka untuk kesihatan diri biarpun setelah kerajaan memberi kelonggaran PKPB.