AMK desak kerajaan perketat undang-undang pemandu mabuk

Iklan
Ketua AMK Kedah, Mohammed Firdaus Johari

SUNGAI PETANI - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah mendesak kerajaan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mengetatkan undang-undang terhadap pemandu mabuk dan pesalah jalan raya yang menyebabkan kematian.

Ketua AMK Kedah, Mohammed Firdaus Johari berkata, sudah tiba masanya kerajaan memandang serius dan meneliti isu berkenaan.

Iklan
Iklan

"Ketika ini, hukuman bagi Seksyen 41 (Akta Pengangkutan Jalan 1987) kepada mereka yang telah menyebabkan kematian ketika memandu dalam keadaan mabuk memperuntukkan penjara minimum dua tahun hingga maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000.

"Saya ingin mencadangkan agar hukuman terhadap pemandu mabuk dan pesalah jalan raya yang menyebabkan kematian ini ditingkatkan kepada minimum penjara lima tahun dan maksimum penjara seumur hidup.

Iklan

"Sementara itu, denda tidak melebihi RM200,000 dan bayaran denda tersebut dibayar pampasan terus kepada waris ahli keluarga mangsa," katanya.

Menurutnya, beliau juga mencadangkan agar lesen memandu mereka juga digantung seumur hidup.

Iklan

Katanya, hukuman paling berat perlu dilaksanakan supaya memberi pengajaran kepada pesalah dan juga kesedaran kepada orang ramai supaya tidak memandang ringan perkara ini.

"Saya amat berharap agar kerajaan dapat meminda akta itu dengan segera dan meletakkan kepentingan rakyat serta orang awam sebagai keutamaan.

"Dalam masa sama, setiap ahli Parlimen Malaysia wajib menyokong pindaan Rang Undang-Undang tersebut apabila dibawa ke Sidang Parlimen kelak," katanya.

Baru-baru ini, Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, maut selepas dihempap kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dipandu seorang lelaki disyaki di bawah pengaruh alkohol ketika bertugas di sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) jam 2 pagi.