KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas kepada dua peratus.
BNM dalam satu kenyataan berkata, pada mesyuaratnya, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) memutuskan untuk mengurangkan OPR manakala kadar tertinggi dan terendah OPR masing-masing dikurangkan kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus.
"Keadaan ekonomi global nyata semakin lemah. Langkah-langkah untuk membendung pandemik Covid-19 telah menjejaskan kegiatan ekonomi di kebanyakan negara.
"Penunjuk terkini memaparkan bahawa ekonomi global telah pun menguncup, dengan pertumbuhan global diunjurkan menjadi negatif pada tahun ini. Keadaan kewangan juga semakin ketat dalam keadaan peningkatan penghindaran risiko serta ketidakpastian,” kata BNM dalam satu kenyataan.
Ini merupakan paras OPR terendah dalam tempoh 10 tahun dengan kali terakhir diturunkan sebanyak dua peratus adalah pada Februari 2010.
Susulan keputusan yang dibuat hari ini, OPR telah dikurangkan sebanyak 100 mata asas dengan itu menyokong langkah-langkah monetari dan kewangan BNM yang lain serta langkah-langkah fiskal pada tahun ini.
"Kesemua langkah ini akan mengurangkan kesan ekonomi ke atas sektor perniagaan dan isi rumah serta menyokong kegiatan ekonomi untuk menjadi bertambah baik,” kata bank pusat.
Langkah yang diambil oleh banyak negara untuk melaksanakan pelbagai rangsangan dasar di samping pelonggaran yang beransur-ansur terhadap langkah pembendungan di seluruh dunia akan mengurangkan sebahagian daripada impak Covid-19 ke atas ekonomi.
Prospek pertumbuhan akan bertambah baik pada tahun 2021 berdasarkan jangkaan bahawa pandemik ini dapat dibendung.
"Di Malaysia, keadaan ekonomi dalam negeri turut terjejas akibat pandemik ini. Langkah pembendungan yang meluas di seluruh dunia, penutupan sempadan antarabangsa dan keadaan permintaan luar negeri yang seterusnya lemah akan memberikan kesan yang lebih besar terhadap kegiatan ekonomi dalam negeri,” kata bank pusat.
BNM berkata, meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu dikuatkuasakan di negara ini untuk membendung pandemik itu daripada merebak, perintah tersebut juga mengekang kapasiti pengeluaran dan perbelanjaan.
"Keadaan pasaran pekerja juga dijangka ketara lebih lemah. Keadaan ekonomi akan menjadi sangat mencabar, terutamanya pada separuh pertama 2020,” kata bank pusat.
Meskipun langkah-langkah rangsangan fiskal bersama-sama langkah monetari dan kewangan akan menyokong ekonomi, bank pusat berkata langkah membenarkan lebih banyak perniagaan beroperasi di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kegiatan ekonomi dijangka bertambah baik secara beransur-ansur.
"Prospek pertumbuhan terus dipengaruhi oleh keadaan ketidakpastian yang tinggi, terutamanya yang berkaitan dengan perkembangan pandemik ini,” kata BNM.
Tekanan inflasi dijangka menjadi sederhana dan purata inflasi keseluruhan mungkin menjadi negatif pada tahun ini terutamanya disebabkan oleh unjuran harga minyak dunia yang ketara lebih rendah.
"Namun demikian, prospek inflasi akan terus dipengaruhi dengan ketara oleh harga minyak dan komoditi dunia, serta keadaan permintaan yang kian berubah. Inflasi asas dijangka rendah memandangkan unjuran prospek pertumbuhan dalam negeri dan keadaan pasaran pekerja yang lebih lemah,” kata bank pusat. - Bernama