SHAH ALAM - Polis memburu tiga lelaki bagi membantu siasatan kematian bekas calon Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shah Alam, M Thiyahu, 30, yang ditetak sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dalam kejadian di Flat PKNS, Seksyen 7, di sini, 7 Januari lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, individu tersebut adalah R Logeswaran berusia 25 tahun dan P S Tamil Kumaran, 33.
"Individu ketiga pula hanya dikenali sebagai Sree berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV)," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, ketiga-tiga individu ini dicari bagi membantu siasatan susulan soal siasat terhadap seorang suspek yang ditahan polis, sehari selepas kejadian.
Justeru, polis memohon kerjasama orang ramai sekiranya mempunyai maklumat berkenaan individu tersebut agar segera menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan S Vignesh Kumar di talian 012-8377756 atau mana-mana balai lolis yang berhampiran.
Fadzil berkata, salah seorang suspek yang telah ditangkap 8 Januari lalu akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
"Pertuduhan akan dijalankan esok pada jam 9 pagi di Mahkamah Shah Alam," katanya.
Pada 8 Januari lalu, polis menahan seorang lelaki, M D Ozziram atau dikenali Ozi, 25, yang dikesan sebelum ini bagi membantu siasatan pembunuhan bekas calon AMK Cabang daerah ini.
Difahamkan, Ozi ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bersama peguamnya.