Duduk di kampung boleh panjangkan umur

Iklan
Sulang Asan yang kini berusia 105 tahun yang masih sihat dan menetap di Kampung Kabung, Inas Johol.

KUALA PILAH - Suasana kehidupan di kampung diakui antara faktor menjadikan warga emas Sulang Asan kekal sihat sehingga kini.

Sulang yang tinggal di Kampung Kabung Inas, Johol kini berusia 105 tahun tetapi daya ingatannya masih baik dan mampu mengingati tahun kelahiran sebahagian daripada kesemua 16 anaknya.

Iklan
Iklan

Menurut Sulang, beliau tiada petua yang hebat untuk dikongsi namun semua bahan yang digunakan dari sumber asli termasuk makanan, minuman manakala ubat-ubatan menggunakan herba dan akar kayu.

"Jika dahulu, nasi yang dimasak menggunakan beras baharu yang ditanam sendiri manakala sayur-sayuran pula segar tanpa menggunakan bahan kimia dan sumber minuman dari telaga,” katanya.

Iklan

Sulang berkata, beliau telah melalui tiga zaman pemerintahan yang berbeza sepanjang hidupnya iaitu zaman British, Jepun dan komunis yang mengajarnya erti kehidupan.

Endet Rentah (tengah) kini berusia 102 tahun tinggal bersama anaknya, Ummi Kassun Mahadi (kiri) serta menantunya, Abd Hamid Said di Kampung Seginyeh, Inas Johol.

Iklan

"Dari dahulu kehidupan saya hanyalah di kampung ini dengan bercucuk tanam, menanam padi dan menoreh getah.

"Setiap hari, saya perlu membanting tulang untuk menyara keluarga. Syukur sehingga kini masih dikurniakan kesihatan yang baik dan mampu berjalan serta menguruskan diri tanpa pertolongan orang lain.

"Tiada apa yang hendak saya cari selain menambah amal ibadat dan setiap masa yang terluang akan diisi dengan zikir kepada Allah,” katanya.

Nenek kepada 52 cucu, 72 cicit dan 13 piut ini berkata, beliau kini tinggal bersama anak ketujuhnya iaitu Sahariah Duseh, 58, selepas suaminya meninggal dunia pada tahun 2009 ketika berusia 83 tahun.

Jelas Sulang lagi, dia mempunyai seorang sahabat di Kampung Inas yang dikenali dengan panggilan Uwan Sani yang kini berusia 107 tahun tetapi kini hanya terlantar.

Selain Sulang dan Uwan Sani yang berusia melebihi satu abad, seorang lagi warga emas, Endet Rentah yang menetap di Kampung Seginyeh, Inas juga berusia lebih 100 tahun namun sudah uzur dan bergerak menggunakan kerusi roda.