KUALA TERENGGANU - Ramadan kali ini pastinya berbeza bagi setiap rakyat di negara ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mula dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.
Tidak terkecuali bagi peniaga rempah di Pasar Payang yang turut terjejas apabila jualan pada Ramadan kali ini sedikit suram berbanding sebelumnya.
Bagaimanapun, tidak mengalah begitu sahaja, mereka memanfaatkan kemudahan teknologi bagi memastikan jualan rempah mereka terus berjalan.
Peniaga rempah, Maimun Awang, 55, berkata, walaupun kedainya dibuka semasa PKP tetapi ada kalangan pelanggannya yang tidak dapat membelinya kerana faktor lokasi dan pergerakan terhad.
"Bagi memastikan pelanggan mendapat bekalan dan jualan tidak merudum teruk, saya terpaksa gunakan media sosial seperti Facebook dengan bantuan anak-anak.
"Saya dan suami, Baharuddin Yusof, 60, akan uruskan jualan di kedai manakala anak-anak membantu bagi jualan dalam talian.
"Alhamdulillah dengan cara ini, perniagaan saya tidaklah terlalu terjejas kerana permintaan sentiasa ada," katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.
Beliau yang sudah 25 tahun berniaga di Pasar Payang merupakan generasi ketiga keluarganya yang berniaga di situ sejak tahun 1962.
Antara rempah yang dijual adalah rempah nasi dagang, gulai kawah, kurma, laksa, kerutuk, kari, dalca, nasi arab, kuzi dan nasi beriani.
Selain itu, beliau turut menjual barangan keperluan masakan yang lain.
"Apabila kerajaan longgarkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), saya rasa lega sedikit sebab biasanya Ramadan dan menjelang Syawal permintaan akan meningkat.
"Sekurang-kurangnya, pendapatan peniaga seperti saya akan kembali pulih beransur-ansur. Tapi kami suami isteri tetap tekankan amalan kebersihan termasuk memakai topeng muka demi keselamatan semua termasuk pelanggan kami," katanya.