Penurunan OPR galak pertumbuhan ekonomi

Iklan
Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali

SHAH ALAM - Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) yang menjadi penanda aras rujukan pinjaman tempatan sebanyak 0.50 peratus kepada 2.00 peratus bertujuan menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara.

Penganalisis ekonomi daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nuradli Ridzwan Shah Mohd Dali berkata, ini kerana apabila bank pusat memberikan kadar OPR yang rendah kepada bank ia akan menggalakkan pinjaman berlaku.

Iklan
Iklan

"Polisi BNM ini kita boleh pecahkan kepada dua sama ada dia mahu tingkatkan OPR di mana ia merupakan polisi pengembangan dan polisi mengetatkan. Apabila BNM menurunkan OPR ia bertujuan menggalakkan pertumbuhan ekonomi di mana bank pusat itu memberikan OPR lebih rendah kepada bank-bank di negara ini dan peminjam.

"Sekiranya seseorang itu mempunyai pinjaman perumahan atau kereta daripada bank, kadar bayaran itu turut turun. Sebenarnya dalam keadaan penularan koronavirus (Covid-19), BNM sebenarnya mahu menggalakkan peniaga untuk membuat pinjaman modal atau syarikat-syarikat yang mempunyai masalah aliran tunai dengan kadar yang rendah," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Iklan

Beliau berkata, langkah BNM mengurangkan OPR dilihat selari dengan usaha kerajaan yang melaksanakan polisi fiskal menerusi Bantuan Prihatin Nasional.

"Polisi moratorium perlu bergerak sekali dengan fiskal bagi memastikan perkembangan ekonomi itu berlaku dengan baik," katanya.

Iklan

Jelasnya, walaupun pengurangan OPR itu dilihat bagus untuk perkembangan ekonomi namun ia memberi sedikit kesan kepada bahagian tertentu seperti keuntungan simpanan tetap atau fixed deposit.

"Apabila OPR diturunkan, maka keuntungan bagi simpanan tetap ini juga akan berkurangan. Untuk simpanan atau pelaburan lain saya tidak fikir ia terkesan disebabkan oleh pengurangan kadar OPR oleh BNM," katanya.