CAMERON HIGHLANDS - Masalah jalan untuk menghubungkan kampung orang Asli bukanlah isu baru.
Jalan berlubang, sempit dan rosak adalah pemandangan biasa sekiranya ingin memasuki kebanyakan kampung Orang Asli yang terpencil di pedalaman.
Itulah juga situasi dirasai pengamal media ketika berkunjung ke Pos Terisu, di sini baru-baru ini bagi membuat liputan calon BN, Ramli Mohd Nor yang melawat penduduk di empat buah kampung Orang Asli di situ.
Walaupun menaiki kenderaan pacuan empat roda, perjalanan kira-kira 30 minit dari Kuala Terla masih terasa seksanya kerana keadaan jalan yang agak teruk dan berbahaya.
Sebaik saja sampai ke Kampung 3 dan bertemu Tok Batin, Jaafar Timur, 47, perkara pertama yang disuarakannya kepada kami ialah masalah jalan yang membelenggu sejak 2012.
"Kalau bagi saya, masalah jalan ini isu paling besar di sini. Paling teruk adalah dari simpang ke Pos Terisu," katanya.
Katanya, sebelum ini jalan tersebut merupakan jalan tanah merah sebelum diturap.
Bagaimanapun, kemasukan kenderaan membawa sayur-sayuran menjadi punca utama jalan untuk memasuki kampung itu rosak.
"Sebab laluan kami ini memang banyak kenderaan sayur, macam-macam jenis kenderaan. Pendatang asing paling ramai bawa sayur.
"Jalan rosak sebab banyak pekebun sayur di depan. Air melimpah ke jalan sebab itu banyak jalan kami rosak," katanya.
Malah, katanya, pernah nyawa seorang penduduk melayang akibat dilanggar kenderaan membawa sayur yang dipandu pendatang asing.
"Penduduk itu meninggal dunia selepas lebih setahun koma. Mujurlah tauke sayur itu memberi pampasan kepada isteri dan anak-anak mangsa," katanya.
Dengan PRK Cameron Highlands yang sedang berlangsung, kata Jaafar, tidak kira calon mana menang beliau berharap masalah jalan itu dapat diselesaikan segera.
"Kalau boleh lebarkan jalan di kampung kami dan baiki kerosakan yang ada supaya mudah untuk keluar masuk," katanya.
Selain isu jalan, katanya, terdapat juga masalah talian telefon yang terputus-putus.
"Rangkaian telefon memang mengganggu. Pencawang kita memang dekat, ada talian.
"Tapi nak buat panggilan memang susah sebab suara terputus-putus," katanya.