Bolehkah kerajaan negeri pilih untuk tidak ikuti PKPB?

Iklan
Orang ramai berbuka puasa dengan mengekalkan jarak sosial di antara satu sama lain ketika tinjauan pada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai di Kampong Bharu hari ini.

KUALA LUMPUR - Nampaknya ada kekeliruan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) apabila beberapa kerajaan negeri mengambil keputusan untuk tidak mematuhi kelonggaran perintah kawalan pergerakan yang dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

PKPB, yang dikuat kuasa mulai Isnin, tidak diterima baik oleh beberapa kerajaan negeri apabila mereka mengumumkan pelbagai rancangan berhubung kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) itu hingga menimbulkan kekeliruan kepada perniagaan dan orang ramai di negeri yang berkenaan.

Iklan
Iklan

Pada mulanya dilaporkan bahawa Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Pahang, Kelantan, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak enggan mematuhi PKPB dengan kebanyakannya membuat keputusan untuk terus mengekalkan PKP fasa empat yang akan berakhir 12 Mei.

Bagaimanapun, Kedah dan Kelantan terpaksa bersetuju hari ini untuk melaksanakan PKPB dengan serta-merta seiring dengan keputusan yang dibuat di peringkat kerajaan Persekutuan.

Iklan

Bolehkah negeri-negeri berkenaan tidak mematuhi PKPB kerajaan Persekutuan dan mengeluarkan arahan mereka sendiri untuk disesuaikan dengan keutamaan negeri masing-masing?

Menurut beberapa pakar perundangan, kerajaan negeri tidak boleh menolak untuk mematuhi penguatkuasaan PKPB atau fasa lima PKP yang diwartakan oleh kerajaan Persekutuan memandangkan PKP fasa empat kini batal dan tidak sah.

Iklan

Peguam terkemuka, Datuk N Sivananthan berpendapat, kerajaan negeri tidak boleh menolak untuk mematuhi PKPB yang telah diwarta untuk dilaksanakan mulai 4 Mei hingga 12 Mei kerana ia menggantikan peruntukan bagi PKP fasa empat.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa yang sah untuk menolak bagi pematuhan PKPB seperti yang diarahkan oleh kerajaan Persekutuan.

"Sebarang percubaan untuk menghalang rakyat daripada mematuhi PKPB akan tertakluk kepada undang-undang dan rakyat yang mengalami kerugian akibat daripadanya boleh mengemukakan saman terhadap kerugian,” katanya.

Berkongsi pendapat yang sama, peguam Amer Hamzah Arshad berkata, di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Undang-undang Persekutuan), kerajaan Persekutuan menerusi menteri yang bertugas, dibenarkan membuat peraturan tertentu.

Beliau berkata, di bawah peraturan PKPB, ia membenarkan sektor-sektor tertentu untuk beroperasi semula.

"Pada masa yang sama, kita perlu menghargai bahawa kerajaan negeri masih mempunyai suara mengenai perkara yang berkaitan dengan kesihatan awam dan pengawalan penyakit. Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, kerajaan negeri menerusi majlis tempatan, mempunyai beberapa kuasa untuk mengawal dan menguatkuasakan kuarantin mengikut mana yang berkenaan.

"Contohnya, kita melihat majlis kerajaan tempatan mengambil inisiatif mereka untuk mengawal dan menguat kuasa undang-undang bagi membendung penularan denggi,” katanya.

Bagaimanapun, Amer Hamzah menekankan apabila ia melibatkan operasi perniagaan, kerajaan negeri menerusi majlis kerajaan tempatan mempunyai kuasa untuk mengeluarkan lesen perniagaan dan permit dan dalam beberapa hal membatalkannya.

Peguam itu berkata, persoalannya sekarang ialah sama ada terdapat konflik antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.

"Apabila terdapat konflik antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, Perkara 81 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa keputusan eksekutif kerajaan Persekutuan mengatasi dan perlu dipatuhi,” katanya.

"Persoalan sebenar yang harus dibangkitkan ialah sama ada kerajaan negeri sememangnya berhasrat mengingkari PKPB atau ia merupakan kes yang menyaksikan kerajaan negeri cuba melaksanakan PKPB secara lebih berkesan dengan memasukkan perincian tambahan yang membabitkan keselamatan dan langkah pencegahan.

"Apapun, selagi ia tidak bercanggah dengan semangat PKPB, maka adalah sah untuk kerajaan negeri berbuat demikian,” kata Amer Hamzah

Sebaik-baiknya perlu ada perbincangan menyeluruh antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sebelum itu kerana kedua-dua pihak berhak melontarkan pendapat dalam isu yang membabitkan kesihatan awam dan pencegahan penyakit.

"Ini boleh mengelak kekeliruan dalam kalangan orang ramai,” katanya.

Sementara itu, peguam Lim Wei Jiet berpendapat bahawa kerajaan negeri berpandangan bahawa mereka ingin melakukan pengubahsuaian berhubung PKPB dengan melaksanakan sekatan pergerakan tambahan.

"Bagaimanapun, pandangan saya berkaitan keperlembagaan tindakan kerajaan negeri adalah seperti berikut: Kita perlu terlebih dahulu mengiktiraf bahawa 'kesihatan awam' dan 'pencegahan penyakit' terletak di bawah Senarai Bersama dalam Perlembagaan kita – ini bermaksud bahawa kedua-dua kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri mempunyai bidang kuasa dalam hal seumpama.

"Tidak diragui, di bawah Perkara 81 Perlembagaan Persekutuan, sesebuah kerajaan negeri atau pihak berkuasa tidak boleh menggunakan kuasanya untuk menghalang atau menjejaskan perjalanan kuasa eksekutif kerajaan Persekutuan.

"Pemakaian Perkara 81 adalah jelas dalam kes-kes yang mana kerajaan Persekutuan mengenakan sekatan dalam sesuatu perkara khusus namun pihak berkuasa negeri enggan mematuhinya, maka jelaslah bahawa kerajaan Persekutuan hendaklah dipatuhi dalam keadaan seperti ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkatak keadaan adalah berbeza jika kerajaan negeri ingin mengenakan sekatan tambahan dalam isu yang menyaksikan kerajaan Persekutuan tidak berbuat demikian.

"Inilah yang berlaku hari ini. Contohnya, Selangor dan Pulau Pinang yang mengenakan sekatan tambahan berkaitan makan di restoran sedangkan kerajaan Persekutuan tidak berbuat demikian.

"Ini boleh dihujah sebagai bukan menghalang atau menjejaskan perjalanan kuasa eksekutif sebaliknya tindakan yang dilakukan di bawah bidang kuasa pihak berkuasa negeri,” katanya. - Bernama