KUALA LUMPUR - Penggunaan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) dilihat mampu menjadi kaedah terbaik dalam usaha mengurangkan risiko penularan wabak koronavirus (Covid-19) dalam sektor pembinaan, kata Menteri Kanan (Kluster Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, ini berikutan penggunaan teknologi IBS mampu mengurangkan tenaga manusia, khususnya tenaga kerja kurang mahir memandangkan banyak komponen pembinaan dibuat terus di kilang.
"Sekarang kita sudah ada aplikasi MySejahtera dan MyTrace yang dibangunkan oleh Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan kita sangat menggalakkan pemain industri pembinaan termasuk pekerja mengguna pakai aplikasi ini.
"Jadi, sepanjang tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) memang kita menggalakkan penggunaan IBS bagi mengawal jumlah tenaga pekerja di tapak pembinaan.
"Selain itu, ia dapat meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerja,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini malam ini.
Fadillah yang juga Menteri Kerja Raya berkata, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) juga memperluaskan latihan, penilaian serta akreditasi di negara sumber seperti Indonesia dan Bangladesh bagi memastikan hanya pekerja mahir bekerja di negara ini.
"Sebab itu saya menggesa kontraktor dan pemaju, kalau nak ambil pekerja dari luar, pastikan mereka mempunyai latihan secukupnya dari pusat yang diakreditasi CIDB supaya mereka benar-benar berkemahiran.
"Ini kerana ada yang ambil pekerja dalam kalangan pendatang tanpa izin yang akhirnya meningkatkan risiko kerana kurang latihan dan kemahiran, bukan sahaja kepada pekerja tetapi projek yang dilaksanakan,” katanya.
Dalam pada itu, susulan penularan wabak Covid-19, Fadillah berkata, pihaknya akan terus memastikan semua pekerja dan majikan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan terutama untuk menjalani ujian saringan kesihatan.
"Melalui CIDB yang diberi kuasa oleh KKM dalam sektor pembinaaan, memang kita pantau terutama selepas kita mendapat makluman bahawa seorang pekerja warga Bangladesh disahkan positif.
"Kawasan itu telah ditutup termasuk pemantauan ketat dilakukan supaya tidak ada orang keluar masuk di situ. Malah mereka yang merupakan kontak rapat juga dikuarantin,” katanya. - Bernama