RESTORAN makanan segera, A&W Malaysia melancarkan kempen Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada penunggang e-hailing, anggota polis dan tentera sebagai tanda menghargai pengorbanan serta kerja keras mereka sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif A&W Malaysia, George Ang berkata, tanpa usaha penunggang e-hailing, pelanggan A&W tidak akan dapat menikmati juadah kegemaran mereka bersama keluarga tersayang.
"Kami turut terhutang budi kepada anggota polis dan tentera yang melindungi sempadan negara walaupun jelas mengetahui bahaya penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
"Pada 18 dan 24 April 2020, kru A&W di seluruh Malaysia telah berganding bahu untuk mengedarkan set makanan Grilled Chicken Burger dan RB 600ml kepada seramai 1,000 penunggang e-hailing serta anggota polis dan tentera.
"Senyuman ikhlas pada riak wajah mereka ketika menerima sumbangan makanan ini menyentuh hati semua pihak yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.
Menurutnya, susulan penularan Covid-19, staf dan rakan kongsi A& W di semua cawangan seluruh Malaysia mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan dan kebersihan yang menyeluruh.
"Sebagai sebuah syarikat korporat yang prihatin, kami berusaha untuk berkongsi kegembiraan melalui sumbangan makanan kami.
"Kami berharap inisiatif ini dapat membantu petugas barisan hadapan agar terus cekal mengatasi segala cabaran yang mendatang, selain dapat memberi harapan agar negara kita kekal tabah menghadapi kemelut Covid-19,” katanya.
George berkata, bagi menghadapi penularan wabak Covid-19 yang terus berlarutan di seluruh dunia, A&W berharap agar rakyat Malaysia kekal tabah dan sentiasa mematuhi penguatkuasaan PKP.
"Walaupun negara kini menghadapi situasi sukar, kita perlu cekal dan terus bangkit daripada kesulitan. Saat yang genting seperti ini sering mencetuskan kisah yang penuh inspirasi antara kita.
"Inilah nilai teras yang turut diyakini oleh A&W iaitu se-buah keinginan untuk menyulamkan kegembiraan dan hara-pan kepada masyarakat,” katanya.