Gigih demi pusat tahfiz

Iklan

KOTA BHARU - Demi meneruskan legasi keilmuan Tok Kenali, seorang daripada cucu ulama tersohor itu sanggup memandu kereta jenis Proton Saga lama ke utara hingga selatan tanah air bagi mendapatkan derma untuk membina Pusat Tahfiz Al-Quran dan Pengajian Hadis Tok Kenali di Persimpangan Tok Kenali, di sini.

Lokman Ahmad, 80, yang juga pengetua pusat tahfiz itu sanggup memandu keretanya itu bersendirian sejak 20 tahun lalu dan berhenti di masjid-masjid untuk mendapatkan derma bagi menyiapkan bangunan tiga tingkat terbabit.

Iklan
Iklan

Katanya, dia sanggup menempuh perjalanan jauh walaupun dalam keadaan bersendirian tanpa mengira waktu siang atau malam demi mencapai impian dan hajatnya yang mahu melihat pusat pengajian al-Quran beroperasi.

"Dulu saya memandu kereta lama ini ke Johor, Kedah, Perak, Perlis, Pahang, Selangor dan pelbagai lagi negeri lain dengan tujuan untuk mendapatkan derma ikhlas daripada sesiapa pun tetapi kini sudah tukar memandu Perodua Kancil kerana kereta Proton Saga itu sudah terlalu tua.

Iklan

"Ketika dalam perjalanan, saya juga berhenti di masjid-masjid negeri itu untuk memberi penerangan berhubung hajat membina pusat pengajian itu dan ramai yang menderma tidak kira sikit atau banyak,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, sepanjang tempoh mengutip derma dari satu negeri ke satu negeri, pelbagai pengalaman dilalui, namun paling mencabar usahanya itu apabila ada yang memberi sedekah RM1 untuk membina tahfiz tersebut.

Iklan

"Apabila sampai ke satu-satu destinasi yang jauh, maka saya akan memberi penerangan panjang lebar, namun apabila derma dapat RM1, keadaan itu membuatkan saya berasa sedikit sedih tetapi tetap bersyukur dengan derma yang diperolehi,” katanya.

Dituduh makan duit derma

Mengulas lanjut, beliau turut berdepan dengan pengalaman perit yang perlu ditelan sepanjang usaha membangunkan pusat tahfiz itu apabila dia dituduh ‘makan’ duit derma.

"Usaha mengutip dan mengumpul derma ini sudah dilakukan sejak lama dulu, namun jumlah derma yang tidak mencukupi menyebabkan pembinaan bangunan tahfiz itu tertangguh.

"Orang nampak saya kutip derma dah lama tapi bangunan tidak dibina. Sebenarnya saya hendak kumpulkan dahulu duit itu tetapi akibat tuduhan itu dan atas nasihat ahli keluarga yang lain, saya memulakan pembinaan bangunan itu perlahan-lahan, ada duit buat sikit dan ada lagi duit, buat sikit lagi,” katanya.

Kini tambahnya, dia sudah boleh menarik nafas lega apabila bangunan tiga tingkat terbabit sudah siap walaupun masih belum sempurna sepenuhnya kerana masih tidak lengkap dari segi perabot dan peralatan untuk pembelajaran.

"Kami masih lagi memerlukan kos kira-kira RM100,000 bagi menyempurnakan pembinaan itu dari aspek utiliti termasuk kelengkapan perabot, kemasan dalaman, pendawaian elektrik dan sistem paip.

"Bangunan itu dilengkapi dengan dewan tiga tingkat berkenaan siap dalam tempoh sembilan tahun hasil derma orang ramai sejak kerja-kerja dimulakan pada 2009,” katanya.

Bina Muzium Tok Kenali

Menurutnya, keseluruhan kos pembinaan bangunan tiga tingkat itu menelan belanja RM350,000 dan dilengkapi dengan bilik kelas pelajar, dewan makan, asrama, dewan serba guna, bilik syarahan, bilik bacaan dan Muzium Tok Kenali.

"Di muzium ini akan menempatkan bahan-bahan sejarah kepunyaan Tok Kenali yang dikumpulkan cucu-cicit. Sebelum ini, kesemua barangan bersejarah itu disimpan di dalam dewan khas dikenali sebagai Dewan Tok Kenali, namun keadaan dewan semakin uzur kerana dimamah usia.

"Dari situlah tercetus niat kami cucu-cicit salah seorang ulama Kelantan ini untuk menaik taraf Dewan Tok Kenali kepada bangunan tiga tingkat yang lebih gah,” katanya.

Sumbangan boleh disalurkan melalui akaun Maybank 5531-0441-1293 atau hubungi Lokman di talian 09-765 4666 dan 012-9540237 atau boleh ke dewan berkenaan di Pondok Tok Kenali, Persimpangan Tok Kenali, di sini.

Untuk info, Tok Kenali atau nama sebenarnya Muhamad Yusof Ahmad Al-Kenali yang dilahirkan pada 1868 di Kubang Kerian mula belajar membaca dan menulis al-Quran daripada datuknya dan menyambung pengajian agama ke Makkah.

Tok Kenali dikenali sebagai seorang ulama di Kelantan dan banyak menjawat jawatan penting seperti Ahli Majlis Ulama Kelantan dan Ketua Pengajian Islam ketika pentadbiran zaman dulu.

Beliau meninggal dunia pada 1933 ketika berusia 65 tahun.