KEENAKAN rasa dan teknik pembakaran yang unik menjadi dua faktor utama menyebabkan Roti Sekaya Dapur Kayu by Cik Ah ‘n’ Family cukup dikenali penduduk Kampung Gemuruh, Kuala Berang, Terengganu.
Pemiliknya, Maziah Abd Rahman berkata, roti berkenaan istimewa kerana dihasilkan secara manual dengan menguli tepung dan sekaya menggunakan tangan sebelum membakarnya dengan kayu api dan sabut kelapa.
Maziah, 32, berkata, roti berintikan kacang dan kelapa itu merupakan resipi turun-temurun milik keluarganya sejak tiga dekad lalu.
Bagaimanapun, katanya, dia baru sahaja menggunakan resipi tersebut untuk memulakan perniagaan pada Februari tahun lalu selepas bapanya, Jusoh@Yunus Mamat dan ibu, Fatimah Salleh berhenti berniaga sejak 26 tahun lalu.
"Saya memang tidak pernah merancang untuk berniaga roti selepas ibu bapa mengambil keputusan berhenti berniaga. Namun, saya semakin seronok berniaga apabila mendapat sambutan daripada pembeli,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, pada Ramadan tahun ini, permintaan Roti Sekaya Dapur Kayu meningkat berbanding bulan puasa tahun lalu dan hari-hari biasa.
"Ramai pelanggan berpuas hati dan membeli kembali selepas mencuba untuk kali pertama,” katanya.
Inti kelapa, kacang
Maziah berkata, Roti Sekaya Dapur Kayu dijual pada harga RM5 sebekas mengandungi 10 biji roti berintikan kelapa dan kacang.
Katanya, roti dihasilkan sehari selepas pelanggan membuat tempahan.
"Kemudian suami saya akan menghantar roti ditempah kepada pelanggan. Ada juga yang membelinya sendiri di rumah kami.
"Kini, kami menggunakan perkhidmatan penghantaran makanan untuk menguruskan tempahan pelanggan,” katanya.
Tambahnya, permintaan roti turut meningkat ketika Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) berikutan penularan wabak Covid-19 sejak 18 Mac lalu.
"Roti kami menerima sambutan yang luar biasa. Tempahan bukan sahaja dari kawasan setempat malah datang dari luar.
"Setakat ini, saya menggunakan platform media sosial untuk mempromosi dan menjual roti ini,” katanya yang sebelum ini menyara keluarga dengan menoreh getah.
Dalam pada itu, katanya, penjualan roti berkenaan juga meningkat didorong oleh promosi dari mulut ke mulut dalam kalangan pembeli di kawasan tersebut.
Berkongsi pengalaman membuka kembali perniagaan hasil air tangan orang tuanya itu, Maziah berkata, semuanya bermula apabila dia menghasilkan roti berkenaan untuk dimakan bersama keluarga.
"Saya hanya suka-suka membuat roti ini untuk minum petang bersama keluarga. Saya mencuba resipi ibu dan ayah ini kerana mereka dahulu merupakan penjual roti terkenal di kampung saya.
"Jadi saya cuba buat. Tidak sangka mendapat sambutan dan berhasrat untuk menjualnya. Alhamdulillah pelanggan memberikan maklum balas yang positif mengenainya,” katanya.
Katanya, ada dalam kalangan pelanggan memberitahu roti dihasilkan Maziah sama rasanya seperti roti yang dihasilkan oleh bapanya.
"Atas sebab itu saya memberanikan diri menjual kembali roti yang pernah dipopularkan kedua orang saya ini,” katanya.
Namun, jelasnya, keenakan roti berkenaan banyak bergantung kepada cara penghasilannya dan cuaca.
"Jika cuaca sejuk atau musim hujan, roti yang dihasilkan tidak berapa menjadi,” katanya.