SHAH ALAM - Seorang mahasiswa terkejut apabila menemui ribuan ulat di dalam peti sejuknya setelah tidak pulang ke rumah sewanya sejak dua bulan lalu selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac.
Muhammad Adib Ayob, 23, berkata, rumah sewa itu dihuni seramai lapan orang namun kesemuanya telah pulang ke kampung masing-masing.
Bercerita kepada Sinar Harian, Muhammad Adib memberitahu, dua hari lalu beliau telah pergi ke rumah terbabit untuk mengambil barang.
"Saya tinggal di Klang dengan ahli keluarga dan bila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), saya pergi ke rumah sewa pada 4 Mei untuk mengambil barang keperluan belajar dan perasan benda ini terjadi semasa mahu hidupkan kipas.
"Pelik kipas tak berfungsi, pergilah periksa suis utama, ternyata rumah ini berlaku 'black out'. Terus tengok di peti sejuk, bila buka terkejut ribuan ulat sampah. Bau sangat busuk, jijik pun ada. Mujur rumah tidak berbau busuk hanya di dalam peti sejuk sahaja. Saya terus buang semua barang-barang yang telah rosak," katanya kepada Sinar Harian.
Mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam itu berkata, berkemungkinan keadaan itu berlaku kerana gangguan bekalan elektrik.
"Walaupun bekalan elektrik terputus, mujur peti sejuk tidak rosak. Keadaan rumah pun tidak terjejas," katanya yang sedang menyambung pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal.
Sebelum ini, tersebar di laman sosial ciapan Muhammad Adib menarik perhatian netizen dengan kapsyen,"Dua bulan tak balik rumah, balik rumah perasan suis letrik utama rumah 'off'. Barangkali kena tendang masa kilat. Hasilnya peti ais rumah... Rakan-rakan kata, nanti nak bersihkan kena pakai penuh pakaian pelindung khas (PPE) macam 'frontliner' ni."