Peniaga songkok turut terjejas

Iklan
Ismail menunjukkan songkok gundal yang berjaya disiapkan di rumahnya di Kampung Razali di sini sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

KUANTAN – Suasana Ramadan kali ini berbeza berbanding tahun sebelumnya apabila tempahan untuk persediaan hari raya daripada pelanggan berkurangan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkara tersebut diakui peniaga, Ismail Ahmad Gundal, 60, yang berkecimpung dalam aktiviti pembuatan dan penjualan songkok sejak lebih 40 tahun lalu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, katanya, beliau kini sudah menyiapkan kira-kira 200 buah songkok untuk stok penjualan apabila kedai dibenarkan beroperasi oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Kedai saya tutup terus hampir dua bulan sepanjang PKP. Kalau ada yang menghubungi saya untuk dapatkan songkok, saya hanya mengambil bekalan yang sudah ada di kedai.

Iklan

"Setakat ini, hanya 2.7 peratus penjualan songkok dan ia amat perlahan berbanding tahun lepas apabila lebih dua hingga empat biji songkok yang ditempah setiap hari," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Razali semalam.

Ismail antara pengusaha songkok tradisional di bawah jenama 'Songkok Gundal' yang dihasilkan 100 peratus menggunakan jahitan tangan mengakui terkesan dengan pelaksanaan PKP.

Iklan

Berikutan itu katanya, punca pendapatannya terjejas hampir 97 peratus akibat tidak dapat mengambil tempahan dan aktiviti penjualan.

"Setakat ini, saya tidak terima sebarang tempahan tetapi jika perniagaan dibenarkan beroperasi, sekurang-kurangnya sudah ada songkok untuk dipamerkan dan dijual di kedai saya di Jalan Besar Kuantan.

"Jadi, pelanggan boleh datang kedai memilih dan membelinya secara terus di kedai," katanya

Ismail turut memberitahu, beliau tidak menjalankan perniagaan dalam talian berikutan kekangan dihadapi antaranya melibatkan faktor ukur lilit kepala pelanggan.

Katanya, setiap ukur lilit kepala berbeza bagi setiap orang dan ukuran tidak tepat pasti akan mendatangkan ketidakselesaan kepada pelanggan.

"Jadi, saya amat menitikberatkan perkara itu (keselesaan pelanggan) selain memastikan setiap songkok yang dihasilkan secara kemas dan halus," katanya yang turut menyediakan perkhidmatan menukar baldu songkok.

Jelasnya, songkok dijual pada harga RM40 hingga RM200 bergantung kepada fabrik yang dihasilkan sambil memberitahu kain jenis baldu adalah pilihan utama pelanggan yang mementingkan kualiti dan keselesaan.