Harga sayur naik di Perak

Iklan
Harga kacang panjang di sebuah pasar raya di negeri ini mencecah hampir RM10 sekilogram sejak beberapa hari lalu.

IPOH - Harga beberapa jenis sayur di negeri ini dikesan mulai naik sama ada di pasar raya mahu pun pasar awam sejak beberapa hari lalu.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar awam dan pasar raya sekitar Ipoh serta Teluk Intan mendapati antara sayur yang mengalami peningkatan harga ialah kacang panjang, kacang buncis, kangkung dan beberapa jenis sayur.

Iklan
Iklan

Peningkatan paling ketara ialah kacang panjang dan kacang buncis dengan harga runcit sekilogram masing-masing mencecah RM10 sekilogram dan RM13.50 sekilogram.

Menurut seorang peniaga di Pasar Besar Ipoh yang enggan dikenali mengakui harga sayur sejak minggu lalu meningkat ekoran kekurangan bekalan akibat faktor cuaca.

Iklan

Katanya, dia turut menerima rungutan daripada orang ramai mengenai keadaan itu namun terpaksa menjelaskan keadaan tersebut.

"Memang harga sayur mahal sekarang ini. Nak tak nak saya kita kena jual juga sebab ada permintaan. Bekalan yang ada kurang sebab musim hujan sekarang ini.

Iklan

"Kalau dulu memang kita akui murah sampai ada yang buang sayur sebab tak laku kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Dalam pada itu, kebanyakan pasar raya di sekitar Ipoh turut menjual sayur-sayuran berkenaan dengan harga yang lebih mahal daripada pasar awam.

Jika di pasar awam harga sekilogram kacang panjang RM6 hingga RM8, di pasar raya pula, harga bagi sekilogram dijual antara RM8 hingga RM10.

Begitu juga dengan kacang buncis yang dijual pada harga RM13.50 berbanding di pasar awam RM12.

Bagaimanapun, terdapat harga sayur di pasar raya lebih murah daripada pasar awam seperti kangkung iaitu RM1.70 sekilogram berbanding harga di pasar awam yang mencecah sehingga RM5.

Beberapa jenis sayur yang dijual di Pasar Besar Ipoh mengalami peningkatan harga antaranya kacang buncis dan kacang panjang.

Sementara itu, beberapa orang ramai yang ditemui menyedari tentang kenaikan harga sayur tersebut.

Bagi seorang suri rumah, Irmalini Amir Hamzah, 35, yang sering membeli sayur di pasar awam mengakui, harga sejak akhir-akhir ini semakin mahal.

Katanya, sekiranya peningkatan tersebut disebabkan kekurangan bekalan, kerajaan dan agensi berkaitan perlu mengambil langkah-langkah yang wajar bagi mengatasi keadaan itu.

"Kalau harga terus naik, pastinya akan membebankan orang ramai yang kini begitu terkesan dengan keadaan ekonomi disebabkan penularan Covid-19 dan PKP.

"Sesuatu perlu dilakukan oleh kerajaan dan agensi berkaitan untuk kawal harga ini daripada terus naik. Jika tidak memang sengsara rakyat di bawah," katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, sayur merupakan keperluan dan isu kenaikan harga barang perlu ditangani dengan baik supaya bekalan makanan tidak terputus.

Bagi penjawat awam, Ramli Ahmad Rozali, 52, pula, perubahan harga sayur kali ini agak ketara berbanding ketika awal pelaksanaan PKP sebelum ini.

Katanya, antara sayur-sayur yang mahal adalah seperti kacang panjang, kacang buncis dan kangkung.

Menurutnya, kenaikan mendadak itu amat merisaukan pengguna yang kini berdepan pelbagai masalah seperti kehilangan pekerja, kekurangan pendapatan dan sebagainya.

"Saya fikir kerajaan perlu fikirkan sesuatu untuk mengatasi masalah ini kerana rakyat sudah sengsara dengan masalah ekonomi yang melanda.

"Punca harga naik perlu diketahui. Jika faktor pemborong atau peniaga yang sengaja ambil kesempatan disebabkan tiada persaingan, tindakan tegas perlu diambil segera," katanya.

Katanya, semua pihak berdepan tekanan ekonomi dan tidak seharusnya ada pihak lain yang mengambil kesempatan.

Sementara itu, semakan harga dikeluarkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menerusi aplikasi My Harga Tani mendapati harga borong semasa bagi kacang panjang di Perak sekitar RM4.50 hingga RM3 sekilogram manakala bagi harga borong bagi kacang buncis pula pada harga RM6 hingga RM4.50 sekilogram bagi pasaran sekitar Perak.

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak mengakui menerima aduan orang ramai mengenai harga sayur yang mahal di negeri ini.

Pengarah KPDNHEP Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, amaran telah diberikan kepada peniaga-peniaga supaya tidak menaikkan harga sesuka hati dan pihaknya turut mengeluarkan notis terhadap beberapa pihak terlibat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.