KOTA BHARU – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bukan tiket untuk rakyat negeri ini berasa bebas dan mengetepikan prosedur yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, mereka perlu terus menjaga keselamatan dan kesihatan terutama penjarakan sosial ketika melakukan aktiviti sosial di luar rumah.
"Isu yang menjadi perhatian kita ialah kepatuhan masyarakat dan bagaimana memastikan mereka menjaga prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerana masih ada yang gagal mengikut saranan KKM.
"Kesedaran masyarakat itu sendiri penting untuk menjaga mengikut SPO. Anggota polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) juga mungkin tidak mencukupi untuk memantau semua lokasi,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan PKPB hari pertama selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di JKR 10, di sini hari ini.
Beliau turut menasihatkan situasi di beberapa negara yang memberi kelonggaran kepada rakyat menjadi iktibar kepada rakyat di negara ini.
Kata Mohd Amar, walaupun Kelantan kini diisytihar zon hijau bebas Covid-19 namun kerajaan negeri tetap masih bimbang jika berlaku gelombang kedua wabak tersebut kerana kegagalan pematuhan kepada arahan kerajaan.
"Bukan kita tidak mahu mengikut arahan kerajaan Persekutuan kerana kelewatan melaksanakan PKPB tetapi ada beberapa isu-isu teknikal yang perlu diselesaikan di peringkat negeri,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, ketika ditanya mengenai mereka yang baru pulang dari luar negeri, Mohd Amar berkata, mereka dinasihatkan untuk kuarantinkan diri di rumah dan mengelakkan keluar tanpa tujuan.
"Mereka semua sudah disaring dan jika ada masalah sudah pasti tidak dibenarkan pulang.
"Kita bersyukur sebab perjalanan antara negeri ini masih dikawal cuma tidak boleh terlalu bebas. Kecuali ada keperluan dengan kebenaran polis,” katanya.