Penganggur didakwa ugut bunuh mentua guna parang

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan bunuh menggunakan sebilah parang ke atas ibu mentuanya pada bulan lepas.

Tertuduh yang berusia 29 tahun itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni.

Iklan
Iklan

Lelaki itu didakwa melakukan ugutan jenayah ke atas wanita berusia 46 tahun dengan mengugut untuk membunuhnya sambil mengacukan sebilah parang di sebuah rumah di Pinggiran Lembah Hijau 9, Bandar Tasik Puteri, Rawang di sini pada 4 petang, 23 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Ammanjet Singh dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya menanggung isteri dan tiga anak.

Iklan

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 Jun untuk sebutan kes. - Bernama