KKM teruskan saringan Covid-19 di Chow Kit

Iklan
Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang lengkap memakai pakaian pelindung diri (PPE) membawa keluar warga asing yang dipercayai ada hubungan dengan pesakit COVID-19 di kediaman di sekitar Pasar Chow Kit ketika tinjauan hari ini.- Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meneruskan ujian saringan koronavirus (Covid-19) terhadap penduduk di Chow Kit terutama di sekitar Jalan Raja Bot hari ini.

Saringan yang memasuki hari ke dua bermula jam 9 pagi tadi itu menyaksikan petugas kesihatan giat melakukan pemeriksaan dan bancian bagi memastikan setiap penduduk di kawasan itu diperiksa.

Iklan
Iklan

Menurut salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal, petugas kesihatan yang lengkap memakai peralatan perlindungan diri (PPE) telah membuat bancian dengan memeriksa setiap premis di kawasan itu.

"Pasukan KKM hadir ke setiap premis di kawasan ini bagi merekod berapa ramai individu dalam satu rumah. Kami sebagai penduduk cuba memberikan kerjasama kepada pasukan KKM ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Iklan

Difahamkan kawasan sekitar Pasar Jalan Raja Bot melibatkan kira-kira 3,000 penduduk termasuk di Jalan Haji Hussein, Kampung Manggis dan Jalan Raja Alang.

Tinjauan Bernama di sekitar Chow Kit mendapati, laluan utama keluar masuk dan jalan tikus ke Pasar Chow Kit telah diletakkan kawat duri dan dikawal ketat anggota Polis Diraja Malaysia serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Iklan

Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kawalan di kawasan Chow Kit diperketatkan dari segi pentadbiran tetapi tidak diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Selain Chow Kit, di daerah Selayang terutama di Taman Desa Bakti dan Taman Wilayah turut diklasifikasikan sebagai kawasan yang diperketatkan kawalan secara pentadbiran iaitu aktiviti pergerakan keluar masuk di kawasan tersebut dihadkan. - Bernama