JITRA - Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) berhak menolak permohonan bantuan bina Rumah Zakat Kedah jika pemohon tidak menepati kriteria ditetapkan termasuk mempunyai aset selepas siasatan rapi dilakukan.
Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Zakaria Othman berkata, pihaknya menerima banyak permohonan namun mengakui banyak yang terpaksa ditolak selepas pemohon didapati mewarisi harta peninggalan keluarga melibatkan tanah yang luas walaupun mereka tergolong dalam golongan miskin.
Menurutnya, permohonan juga boleh ditolak sekiranya pemohon tidak mendapat kebenaran daripada adik-beradik lain untuk membina rumah atas tanah warisan milik keluarga.
"Kelompok ketiga yang ditolak permohonan pula adalah mereka yang tinggal di atas tanah kerajaan seperti tanah rizab Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan tanah milik persendirian orang lain," katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Bantuan Bina Rumah Zakat Kedah Tahun 2020 kepada penerima, Abdullah Ahmad, 41, di Kampung Sampang, Bukit Wang, Jitra hari ini.
Zakaria berkata demikian ketika diminta mengulas tentang kriteria permohonan pembinaan rumah Rumah Zakat Kedah yang terpaksa ditolak oleh LZNK.
Mengulas lanjut katanya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 137 buah telah berjaya dibina manakala 348 buah rumah pula menerima peruntukan membaik pulih dan keseluruhannya membabitkan kos kira-kira RM14 juta.
Pada tahun ini pula katanya, LZNK menerima sebanyak 47 permohonan melibatkan kos pembinaan seunit rumah sebanyak RM45,000, manakala kos baik pulih tidak melebihi RM25,000 untuk sebuah rumah.
"Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), banyak kerja terpaksa ditangguh dan kita jangka semua ini akan segera disambung selepas tamat perintah ini," katanya.