KOTA TINGGI - Satu operasi bersepadu melibatkan empat agensi bagi memastikan peniaga tidak memakai perbahasaan halal sewenangnya dilakukan di daerah ini.
Timbalan Ketua Cawangan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kota Tinggi, Norbaizura Abdul Rahim berkata, operasi halal bersama agensi itu bermula jam 10 pagi hingga 2 petang, melibatkan restoran sekitar Kota Tinggi.
Menurutnya, seramai 21 anggota terlibat dalam operasi yang bertujuan mengesan peniaga cuba mengelirukan masyarakat Muslim dengan penggunaan ayat suci al-Quran.
"Mereka yang terlibat dalam operasi ini dari Pejabat KPDNHEP Kota Tinggi, Bahagian Pengurusan Halal dan Penyelidikan Jabatan Islam Negeri Johor, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi dan Bahagian Penguatkuasa Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT).
"Dalam operasi ini, KPDNHEP memainkan peranan mengesan kes di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana gagal pamer tanda harga.
"Manakala bahagian pengurusan halal memberikan nasihat dan galakan supaya premis membuat permohonan sijil halal," katanya.
Jelasnya, dalam operasi sama, Pejabat Kesihatan Daerah Kota Tinggi mengeluarkan 15 kompaun atas kesalahan pengendalian makanan dan kebersihan.
Bahagian Penguatkuasa MDKT juga mengeluarkan empat kompaun dan tiga notis atas kesalahan pelesenan operasi