MUAR - Pusat Khidmat Rakyat Dun Bukit Naning memandang serius gejala pencerobohan tanah rizab Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Bakri Batu 6, di sini.
Terdahulu, pegawainya, Abdul Saad Salleh mewakili Adun Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni yang mengadakan lawatan berkata, masih terdapat banyak pokok yang ditanam oleh individu luar.
"Menurut pihak hospital, mereka telah membuat aduan sejak dahulu dan sebaik Pihak Berkuasa Tempatan mengadakan penguatkuasaan dan memberi notis, kegiatan itu dihentikan pada tahun lalu.
"Namun pada tahun ini, berlaku sekali lagi pencerobohan dan pihak HPSF terpaksa memanjangkan isu ini kepada Pusat Khidmat Rakyat Dun Bukit Naning,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut beliau, pihak pejabat Adun akan mengambil tindakan dengan mengadakan pertemuan bersama ketua masyarakat dan penceroboh yang buat penanaman di kawasan tanah milik hospital tersebut.
"Pertemuan ini sebagai menjejaki pemilik tanaman yang membuat pencerobohan ini.
"Masalah ini adalah serius dan pihak pejabat Dun akan berusaha menyelesaikan perkara ini,” katanya.
Difahamkan, tanah seluas hampir 1.5 hektar yang masih belum dibina sebarang projek itu digezetkan kepada HPSF sejak 1962 bagi dijadikan tanah perkuburan orang Islam untuk kes jenazah yang tidak dituntut.