KUALA LUMPUR – Seramai 503,276 daripada 1.4 juta individu yang sudah mendaftar dengan aplikasi mudah alih ‘Gerak Malaysia' memohon untuk melakukan perjalanan merentas negeri.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, orang ramai yang membuat permohonan dinasihatkan mengemaskini alamat asal dan alamat destinasi.
"Orang ramai juga disarankan mengemas kini aplikasi ini ke versi 2.5. Selepas aplikasi dikemaskini, QR Code akan dijana dan boleh dipaparkan di skrin telefon bimbit masing-masing.
"QR Code ini membuktikan permohonan pergerakan antara negeri telah diluluskan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Al-Ishsal Ishak.
Huzir berkata, pihaknya mendapati hanya 29.5 peratus atau 148,576 pemohon yang mengemas kini maklumat perjalanan antara negeri.
"Pemohon lain mungkin berpendapat tiada kelulusan akan diberikan dan mereka boleh bergerak tanpa mengemas kini maklumat atau menunggu saat akhir untuk berbuat demikian.
"Seramai 13,069 orang pula melakukan permohonan secara manual di balai polis di seluruh negara untuk perjalanan antara negeri,” katanya.
Beliau berkata, QR Code penting bagi memastikan tiada individu yang menyalahgunakan kemudahan itu dan mengambil kesempatan untuk melakukan perjalanan antara negeri yang masih tidak dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
"Kita juga mahu memastikan orang ramai yang benar-benar terkandas sahaja melakukan perjalanan antara negeri dalam tempoh 7 hingga 10 Mei ini,” katanya.
Beliau berkata, jika terdapat individu yang melakukan perjalanan antara negeri itu dikesan positif Covid-19, ia dapat membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia untuk mengenal pasti dan mengesan kontak rapat dalam masa yang singkat.
"Orang ramai yang dapat menjana QR Code dan mendapat kelulusan secara manual perlu melaksanakan perjalanan mengikut tarikh yang ditetapkan sahaja," katanya.