Covid-19: 212 petugas kesihatan bertugas di MAEPS

Iklan
Noor Hisham ketika sidang media harian berkaitan jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.-Foto: Bernama

PUTRAJAYA - Seramai 212 petugas kesihatan ditugaskan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu membabitkan tiga pakar perubatan, 34 pegawai perubatan dan 90 jururawat terlatih.

Iklan
Iklan

"Selain itu pusat rawatan tersebut juga menempatkan 21 pegawai farmasi, lapan juru x-ray, sembilan juruteknologi makmal perubatan, sembilan pegawai dietetik dan sajian, dua kaunselor dan 36 daripada lain-lain kategori pelbagai pangkat," katanya.

Menurutnya, kesemua petugas kesihatan berkenaan telah dimobilisasikan dari Ibu Pejabat KKM, Jabatan Kesihatan Negeri, hospital KKM, hospital angkatan tentera, hospital universiti awam dan anggota sukarelawan.

Iklan

"Pusat ini juga mempunyai pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS)

yang memberikan perkhidmatan sokongan emosi, psikologi dan spiritual kepada pesakit dan petugas.

Iklan

"Mereka menggunakan sistem teknologi maklumat iaitu HIS@KKM yang dibangunkan oleh KKM bagi pengurusan rekod perubatan pesakit," katanya.

Tambahnya, ia merangkumi rekod perubatan elektronik pesakit yang digunakan dalam pengendalian maklumat pesakit termasuk preskripsi ubat, pemesanan diet, x-ray dan sampel perubatan.

"Di samping itu, pusat ini juga menggunakan sistem CPRC Hospital bagi tujuan pengumpulan data untuk penyelarasan dan pelaporan yang lebih tepat dan terkini," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga semalam, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 yang dirawat di pusat ini adalah seramai 217 kes.

"Seramai 65 kes telah didiscaj dan 152 kes masih dirawat," katanya.

Bagaimanapun katanya, terdapat tujuh pesakit yang telah dirujuk semula ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Sehingga kini, pesakit stabil yang dimasukkan di pusat rawatan itu daripada Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh, Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sungai Buloh dan beberapa Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Lumpur dan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan," katanya.

Pusat rawatan itu yang telah beroperasi sejak 21 April lalu menempatkan pesakit Covid-19 yang berisiko rendah atau tidak bergejala.