Manisan tradisi Syawal

Iklan
Mohd Hanafi menunjukkan mesin yang direka khas untuk menghancurkan kacang tanah.

SELAIN biskut raya dan aneka jenis juadah lain seperti nasi dagang, ketupat palas, tapai pulut, rendang serta sate, coklat nise turut menjadi pilihan setiap kali menjelang 1 Syawal.

Namun, masih ramai lagi sebenarnya yang tidak mengetahui kudap-kudapan itu merupakan sajian tradisi warga Pantai timur.

Iklan
Iklan

Kini, ia semakin mendapat perhatian kerana keenakan rasanya hasil adunan antara kacang, gula Melaka, santan dan tepung gandum.

Justeru, pengeluarannya meningkat setiap kali menjelang Ramadan berbanding hari biasa kerana ramai yang mahu menjadikannya sebagai hidangan istimewa pagi raya.

Iklan

Perkara itu diakui sendiri oleh Syahzlina Mohamad, 39, dari Kampung Gong Kubur, Pasir Puteh, Kelantan yang mengusahakan pembuatan coklat nise bersama suaminya, Mohd Hanafi Harun, 42.

Syahzlina dan Mohd Hanafi menunjukkan Eyna Coklat Nise Legend yang diusahakan oleh mereka berdua.

Wanita berusia 39 tahun itu berkata, dia tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan coklat nise setiap kali kedatangan Ramadan.

Iklan

"Jika hari biasa saya hanya mengeluarkan coklat nise menggunakan jenama Eyna Coklat Nise Legend sekitar 3,000 biji sehari.

"Namun, masuk sahaja 1 Ramadan jumlah itu meningkat kepada 5,000 biji dalam masa sehari,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun katanya, dia dan suaminya terpaksa mengehadkan pengeluarannya kerana mereka menghasilkannya secara manual.

Menurutnya, tempahan tetap menggalakkan walaupun negara berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan koronavirus (Covid-19).

"Ia menunjukkan masyarakat mula menerima kembali kehadiran makanan tradisi ini,” katanya.

Dia berkata, Eyna Coklat Nise Legend yang diusahakannya itu menggunakan resipi asli turun temurun daripada nenek kepada ibunya.

"Coklat nise yang saya usahakan bersama suami ini menggunakan bahan semula jadi yang segar sebagai contoh kacang tanah, santan dan gula Melaka.

Coklat nise yang juga makanan tradisi warga Pantai Timur ini semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat sebagai pencuci mulut setiap kali lebaran.

"Ia bertujuan memastikan pembeli berpuas hati apabila menikmatinya, berbaloi dengan harga yang dibayar,” katanya.

Syahzlina berkata, dia yang mempelajari pembuatan kuih berkenaan ketika berusia 5 tahun merupakan generasi ketiga dalam keluarga yang meneruskan kerja-kerja menghasilkan coklat nise secara serius.

Pilihan tokoh

Syahzlina tanpa berselindung mengakui Eyna Coknat Nise Legend yang diusahakannya itu turut mendapat tempat dalam kalangan tokoh ternama di negara ini.

Katanya, antara orang ternama yang telah merasai keenakan rasa manisan itu ialah tokoh politik, Tan Sri Dr Rais Yatim dan penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff.

"Alhamdulillah, respons yang saya terima dari tokoh ternama ini amat positif dan mereka sentiasa membuat tempahan terhadap Eyna Coklat Nise Legend,” katanya.

Menariknya, beliau berkata, coklat nise yang dihasilkan juga sudah terbang ke negara luar antaranya Australia, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Kalau dalam negara, boleh dikatakan seluruh Malaysia sudah menikmati keenakan rasa Eyna Coklat Nise Legend,” katanya.

Dalam pada itu, Syahzlina berkata, dia dan suaminya turut memasang impian untuk membuka sebuah kilang mengusahakan coklat nise.

Katanya, impian itu hadir selepas melihat potensi sajian berkenan yang mendapat sambutan luar biasa daripada orang ramai.

"Buat masa ini, saya dan suami sedang berusaha mengumpulkan modal bagi merealisasikan impian untuk membuka sebuah kilang.

"Kami mahu kilang ini nanti mengeluarkan coklat nise yang banyak, sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” katanya.