PORT DICKSON - Mayat seorang lelaki ditemui terdampar di pesisiran pantai belakang Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohammed berkata, mayat yang lengkap berpakaian itu ditemui orang awam sebelum menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson pada jam 10.48 pagi.
Menurutnya, hasil siasatan lanjut di tempat kejadian tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa.
"Mayat dibawa ke Hospital Port Dickson dan bedah siasat dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian," katanya dalam satu kenyataan media.
Aidi Sham berkata, siasatan awal hasil bedah siasat mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia lebih 36 jam.
"Bedah siasatan juga mendapati tiada sebarang kecederaan atau unsur jenayah.
"Polis meminta agar orang ramai yang kehilangan ahli keluarga menghubungi IPD Port Dickson di talian 06-6472222 atau balai polis yang berhampiran," katanya.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan masih diteruskan.