KAJANG - Polis merampas dadah dianggarkan bernilai RM50,000 selepas menahan dua lelaki dalam serbuan berasingan di sekitar daerah ini Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, tangkapan pertama lelaki berusia 29 tahun dibuat di kawasan tempat letak kereta di Bandar Mahkota Cheras kira-kira jam 5.45 petang.
"Lelaki yang bekerja sebagai pembekal makanan itu ditahan di dalam kereta jenis Toyota Estima.
"Pemeriksaan menemui satu bungkusan plastik teh di mana di dalamnya terdapat satu peket plastik lut sinar disyaki berisi dadah jenis syabu seberat kira-kira 1.05 kilogram dianggar bernilai RM50,000," katanya.
Menurutnya, hasil soal siasat polis berjaya menahan rakan suspek berusia 28 tahun di tepi jalan di Bandar Mahkota Cheras kira-kira jam 5.50 petang.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek pertama dan kedua masing-masing dipercayai berperanan sebagai pengedar serta jurukira wang bagi kegiatan sindiket terbabit.
"Dipercayai mereka ini telah aktif sejak kira-kira enam bulan lalu. Selain itu, salah seorang suspek juga memiliki rekod dadah," katanya.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.