KUALA LANGAT - Seorang lelaki disyaki mengalami masalah mental bertindak menggantung anjing peliharaannya di pokok di tepi jalan di Batu 17 Sungai Sedu, Jalan Klang Banting di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kejadian itu dikesan pegawai veterinar kira-kira jam 9.45 pagi semasa sedang melakukan rondaan.
"Anjing tersebut kelihatan meronta-ronta dan lelaki berusia 35 tahun itu memerhatikan sahaja tanpa melakukan sesuatu untuk melepaskan ikatan anjing terbabit.
"Pegawai vaterinar telah mengarahkan lelaki itu untuk segera melepaskan anjing tersebut," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Azizan berkata, lelaki itu bagaimanapun akur dengan arahan pegawai berkenaan dan telah melepaskan ikatan anjing tersebut sebelum terus membawa anjing itu masuk ke halaman rumahnya.
Katanya, selain itu, lelaki terbabit juga bertindak mengeluarkan kata-kata kesat dan menunjukkan perlakuan agresif.
"Atas faktor keselamatan, pegawai terbabit telah memohon bantuan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan selepas bantuan tiba, lelaki tersebut memohon maaf dan berjanji akan memberi kerjasama," katanya.
Tambahnya, siasatan dijalankan oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor di bawah Seksyen 29 Akta Kebajikan Gaiwan 2015 (Akta 772).
"Anjing peliharaan milik lelaki terbabit juga telah diambil pegawai berkenaan untuk tindakan lanjut," katanya.