Inkues Adib mula hari ini

Iklan

SHAH ALAM - Pengurusan kes inkues bagi menentukan punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim akan didengar di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Prosiding inkues itu akan dijalankan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad yang bersidang sebagai Koroner kira-kira 9 pagi.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, hanya tiga wakil media iaitu dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), The Star dan akhbar Sin Chiew Daily dibenarkan masuk dalam galeri mahkamah bagi membuat liputan sebab ruang terhad.

Wakil media tempatan dari pelbagai agensi sampai seawal 8 pagi bagi mengikuti prosiding kes yang mendapat liputan meluas itu.

Iklan

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya, parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November lepas.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember.

Iklan

Pada 10 Januari lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata polis telah melengkapkan sepenuhnya siasatan kes kematian Muhammad Adib dan kertas siasatan itu telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya. - Bernama