5 maut, 1,000 dimasukkan ke hospital akibat gas bocor di India

Iklan
Situasi panik tercetus di Visakhapatnam selepas berlaku kebocoran gas di sebuah kilang kimia di pinggir bandar tersebut awal hari ini. - Foto Agensi

VISAKHAPATNAM - Sekurang-kurangnya lima orang maut dan 1,000 lagi dimasukkan ke hospital selepas berlaku kebocoran gas di sebuah kilang kimia di pantai timur India hari ini dengan pihak berkuasa memberi amaran angka korban mungkin meningkat.

Menurut pegawai polis tempatan, kebocoran gas itu membabitkan dua tangki 5,000 tan yang tidak diselenggara akibat pelaksanaan perintah berkurung (lockdown) bagi mengekang koronavirus (Covid-19) sejak akhir Mac lalu.

Iklan
Iklan

Rakaman di saluran televisyen India menunjukkan orang ramai, termasuk wanita dan kanak-kanak terbaring tidak sedarkan diri di bahu jalan sekitar Visakhapatnam iaitu sebuah bandar pelabuhan perindustrian di negeri Andhra Pradesh.

"Kami dapat mengesahkan sekurang-kurangnya terdapat lima kematian sekarang. Angka mungkin bertambah," kata Penolong Pesuruhjaya Polis Visakhapatnam, Swaroop Rani kepada AFP.

Iklan

Penyelaras hospital daerah, B K Naik berkata, sekurang-kurangnya 1,000 mangsa telah dihantar ke hospital berlainan dan kemungkinan ramai lagi tidak sedarkan diri di rumah mereka.

"Insiden ini berlaku pada waktu awal pagi dan penduduk sedang tidur ketika kebocoran gas berlaku.

Iklan

"Pihak berkuasa sedang melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah. Kami berusaha untuk membawa seberapa ramai mangsa ke hospital.

"Mereka perlukan bantuan pernafasan dan udara segar," katanya.

Sementara itu, menurut laporan Times of India, terdapat lapan kematian termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun dan 5,000 lagi penduduk jatuh sakit.

Insiden itu mencetuskan panik dalam kalangan penduduk yang berada sekitar tiga radius kilometer dari kilang kimia tersebut.

Seorang saksi berkata, penduduk membunyikan siren kecemasan sekitar jam 3.30 pagi (waktu tempatan) dengan gas jelas kelihatan di udara.

Kilang kimia itu dikendalikan oleh syarikat LG Polymers yang terletak di pinggir Visakhapatnam iaitu sebuah bandar yang dihuni sekitar lima juta orang. - AFP