SHAH ALAM - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor berpegang kepada keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) pada 23 Februari lalu yang telah memutuskan Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH).
Ketuanya, Adhif Syan Abdullah berkata, pihaknya berpendirian bahawa kerjasama Perikatan Nasional (PN) adalah jalan ke hadapan dan langkah terbaik.
"Selaku Ketua Armada Selangor, saya mengambil maklum kenyataan rasmi pendirian Armada Nasional yang dikeluarkan pada hari ini selepas satu mesyuarat khas diadakan.
"Saya selaku ahli parti, berpegang kepada keputusan MPT pada 23 Februari lalu yang memutuskan Bersatu keluar daripada PH," katanya menerusi kenyataan semalam.
Beliau berkata, pihaknya berharap agar keputusan ini dipersetujui oleh semua pihak khususnya Armada Selangor.
"Saya berharap semua pihak khususnya Armada Selangor akur dengan ketetapan terkini dan bertindak mengikut lunas undang-undang sebagaimana termaktub dalam perlembagaan parti," katanya.
Menurutnya, perselisihan pendapat yang ada dalam kalangan ahli khususnya haruslah disepakati dan dirai.
"Saya sedar terdapat perselisihan pendapat dan pendirian dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi.
"Perbezaan ini harus kita raikan agar kita dapat menggembeleng idea dan buah fikiran yang terbaik untuk manfaat dan kelangsungan parti yang kita semua sayangi," katanya.
Terdahulu, Armada Bersatu Pusat dalam kenyataan menyokong pendirian Dr Mahathir untuk tidak bekerjasama dengan UMNO dan mahu kembali bekerjasama dengan PH.
Pendirian itu dibuat berdasarkan undian yang dibuat ketika perjumpaan dan dipersetujui oleh lebih 2/3 ahli mesyuarat dan selebihnya berkecuali tanpa ada yang menolak.