PKPB: Masjid India masih lengang

Iklan
Keadaan di premis sekitar Jalan Masjid India suram tanpa kehadiran pengunjung. - FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR

KUALA LUMPUR - Suasana di sekitar Masjid India berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini apabila kebanyakan kedai dan premis perniagaan di situ masih belum memulakan operasi mereka susulan penularan wabak Covid-19.

Walaupun kerajaan memberi kelonggaran untuk peniaga beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, namun tinjauan Sinar Harian mendapati kebanyakan premis masih tidak beroperasi dan ditutup kepada orang ramai.

Iklan
Iklan

Malah, kawasan persekitaran Masjid India kelihatan lengang tanpa kehadiran pengunjung bagi mendapatkan barangan untuk persiapan sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Menerusi pemerhatian, kebanyakan orang awam yang berada di luar juga didapati mematuhi saranan kerajaan dengan memakai topeng muka sebagai langkah pencegahan jangkitan wabak berkenaan.

Iklan
Kebanyakan kedai dan premis sekitar Masjid India masih ditutup. - FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR

Sementara itu, menurut seorang peniaga baju Melayu, Sahmar Zubir, 62, dia terpaksa menanggung kerugian besar sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

"Sejak tahun 1980 saya meniaga di sini, ini kali pertama saya mengalami kerugian yang amat teruk sehingga mencecah ratusan ribu," katanya.

Iklan

Sahmar berkata, sejak mula beroperasi dua hari lepas, dia masih belum mengaut sebarang keuntungan malah tiada pelanggan yang mengunjungi premisnya bagi mendapatkan barangan persiapan raya.

Sahmar Zubir

Katanya, orang ramai masih takut untuk keluar berbelanja walaupun kerajaan memberi kelonggaran pergerakan sepanjang PKPB ini.

"Barangan yang saya jual pun hanya bermusim dan bila berlakunya keadaan seperti ini, pastinya ia memberi kesan besar terhadap operasi di premis ini," katanya.

Dalam pada itu, seorang peniaga beg, Zulkifli Abdul Kadir, 83, berkata, keadaan di Jalan Masjid India suram dan tidak semeriah tahun sebelum ini.

Zulkifli membersihkan barangan di premisnya selepas ditutup sejak 18 Mac lalu. - FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR

Zulkifli berkata, walaupun pendapatannya terjejas, namun dia menyokong langkah kerajaan melaksanakan PKP bagi mengawal penularan wabak berkenaan.

"Saya pun baru mula buka dan cuci kedai hari ini. Jika tengok keadaan memang suram sebab orang masih ramai belum keluar membeli-belah kerana risau dengan wabak Covid-19 ini," katanya.

Sebelum ini, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPB dengan memberi kelonggaran kepada beberapa sektor dalam usaha bagi memulihkan semula ekonomi negara selepas diserang wabak Covid-19.