JITRA - Walaupun majlis pernikahan dijalankan serba ringkas dan hanya dihadiri oleh bapa, namun ia menjadi kenangan yang paling berharga buat seorang guru di Pusat Tahfiz Darul Faqeh di sini apabila suaminya diberi peluang membaca sendiri khutbah nikah dan doa selamat pada hari bahagia mereka.
Zaliqha Abdul Roni, 23, berkata, peluang tersebut merupakan kenangan manis buatnya di hari pernikahan mereka di Pejabat Agama Kubang Pasu di sini hari ini kerana kebiasaan khutbah nikah dibacakan oleh kadi.
"Saya tak sangka suami diberi peluang (baca khutbah dan doa) kerana difahamkan semua urusan pernikahan diuruskan oleh pejabat agama.
"Saya pun tak tahu nak gambarkan macam mana perasaan itu, terharu pun ada. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar," katanya.
Zaliqha berkata, mereka juga bersyukur majlis pernikahan dapat diadakan lebih awal dari tarikh dirancang sebelum ini iaitu selepas Hari Raya Aidilfitri.
"Kami menerima panggilan telefon daripada pejabat agama dua hari lepas dan selepas berbincang kami bersetuju untuk melangsungkan pernikahan hari ini," katanya.
Sementara itu, suaminya, Mohd 'Athaillah Majdi Abdul Majid, 25, berkata, peluang membaca khutbah dan doa selamat di majlis pernikahannya adalah suatu yang tidak dijangkakan dan ia kenangan yang sangat berharga.
"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan saya dinikahkan sendiri oleh bapa mentua, Abdul Roni Husain, 59, dengan disaksikan oleh dua orang pegawai jabatan agama," katanya yang merupakan petugas di Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Pokok Sena.
Dalam pada itu, Pegawai Agama Daerah Kubang Pasu, Syeikh Ahmad Muzammil Yub berkata, seramai 29 pasangan selamat dinikahkan dalam tiga sesi termasuk hari ini.
"Sebelum ini seramai 18 pasangan telah dinikahkan pada 28 dan 29 April lalu.
"Pihak kami menerima 77 permohonan bernikah pada Mac lalu, bagaimanapun hanya 29 pasangan yang bersetuju untuk bernikah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya.