KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan Bersatu, Dr Mohd Radzi Md Jidin menegaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak pernah membincangkan untuk menyertai semula Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu sebagai badan eksekutif tertinggi parti dalam mesyuaratnya pada 23 Februari 2020 telah memutuskan untuk Bersatu keluar daripada PH dan tidak lagi mempunyai apa-apa hubungan kerjasama dengan gabungan tersebut.
"Bersatu ingin menegaskan bahawa kenyataan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menyeru ahli-ahli Bersatu supaya bekerjasama semula dengan PH adalah pendirian peribadi beliau dan tidak melambangkan pendirian rasmi parti. Sebarang usaha untuk membawa Bersatu bekerjasama dengan PH adalah bercanggah dengan keputusan rasmi parti.
"Bersatu juga ingin menegaskan bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai kuasa untuk menandatangani Kenyataan Bersama PH, Bersatu dan Parti Warisan Sabah bertarikh 4 Mei 2020 dan ianya adalah satu tindakan yang bercanggah dengan pendirian parti," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, Dr Radzi turut menegaskan mana-mana ahli yang ingkar termasuk dengan sengaja menyertai gabungan parti-parti lain yang bercanggah dengan pendirian parti adalah tergugur keahliannya secara serta-merta menurut Fasal 10.2.3 Perlembagaan Bersatu.
"Oleh itu, setiap ahli hendaklah sentiasa mematuhi pendirian rasmi parti yang telah dibuat secara kolektif mengikut kaedah dan saluran yang selaras dengan perlembagaan parti," katanya.
Kelmarin, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu memberi gambaran seolah-olah Bersatu berhasrat mahu kembali menyertai PH selepas krisis politik pada Februari lalu yang menyaksikan kerajaan PH tumbang.
ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu lebih baik bersama PH: Mukhriz
Amanah gembira jika Bersatu kembali
PH terima Bersatu hanya dengan bersyarat: Anwar