KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob mengucapkan takziah kepada tiga ahli keluarga pemimpin politik yang meninggal dunia semalam dan hari ini.
Ahmad menerusi entri Facebook rasminya hari ini mengucapkan takziah kepada keluarga arwah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chini, Datuk Seri Abu Bakar Harun yang meninggal dunia akibat serangan jantung awal pagi ini.
Ahmad juga mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Asbullah Mohd Salleh iaitu mantan calon Pas bagi Parlimen Labuan serta Allahyarham Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Hasenan Haron yang meninggal dunia hari ini.
"Semoga ALLAH SWT menempatkan mereka dalam kalangan orang-orang yang beriman dan mendapat rahmatNya,” katanya yang juga Timbalan Mursyidul Am Pas.
Abu Bakar, 59, yang berkhidmat sebagai ADUN Chini sejak Pilihan Raya Umum 11 (PRU11) difahamkan meninggal dunia akibat sakit jantung di Hospital Kuala Lumpur (HKL), awal pagi tadi.
Sementara itu, Hasenan, 61, yang meninggal dunia pagi tadi di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh dikebumikan di Kampung Awah, Pahang.
Allahyarham yang juga Yang Dipertua Pas Maran bertanding mewakili Pas di kerusi Parlimen Maran pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu namun tewas kepada penyandang, Datuk Seri Ismail Muttalib (Barisan Nasional).
Sementara itu, parti juga turut merasakan kehilangan dengan pemergian Asbullah yang meninggal dunia selepas Zuhur, semalam.