LENGGONG - Sekumpulan lapan remaja bermotosikal mengambil kesempatan waktu kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk melepak dan merempit di Kampung Bukit Sapi d sini semalam.
Bagaimanapun, remaja tersebut bertindak melarikan diri sebaik sahaja terserempak dengan kenderaan polis yang kemudian mengejar mereka.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, pasukan task force Operasi Pematuhan, Balai Polis Lenggong menerima maklumat awam berkaitan remaja bermotosikal yang melepak di tepi jalan sekitar jam 6.50 petang.
"Empat anggota menaiki pacuan empat roda Toyota Hilux PDRM melakukan pemeriksaan mendapati kumpulan remaja terbabit sedang melepak.
"Apabila nampak kehadiran polis, mereka melarikan diri dengan memecut motosikal melalui lorong-lorong kecil Kampung Bukit dan menghala Kampung Chepor," katanya.
Menurutnya, bagaimanapun tiada tangkapan atau saman dikeluarkan berhubung kes tersebut.
Tambah Ismail, pemantauan akan dilakukan dari masa ke masa sekali gus mengambil tindakan undang-undang kerana PKPB bukan lesen kepada masyarakat untuk berkumpul dan keluar beramai-ramai tanpa tujuan.
"Kita masih lagi dalam PKPB dan perlu cuba ubah gaya hidup baru selain menyayangi diri, keluarga dan negara," katanya.