SUNGAI PETANI- Seorang pemandu dan tiga penumpang cedera apabila sebuah ambulan terbabas di Kilometer 87.7 Lebuhraya Utara Selatan, 12.30 tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kejadian dipercayai berpunca akibat tayar bahagian belakang ambulan itu pancit sebelum terbabas sehingga menyebabkan lampu hadapannya pecah dan pintu belakang kenderaan itu kemek.
"Kenderaan itu dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun, dinaiki jururawat pengiring berusia 39 tahun, seorang pesakit perempuan berusia 25 tahun dan waris kepada pesakit perempuan itu yang berusia 47 tahun.
"Berdasarkan maklumat awal, pemandu dan jururawat hanya mengalami sakit badan manakala pesakit yang mengalami sakit kepala serta pening yang dibawa untuk rawatan itu cuma luka di bahagian tangan sementara waris itu pula luka di bahagian dahi,"katanya.
Menurut beliau, kemalangan dipercayai berlaku apabila ambulan yang sedang bergerak dari arah Gurun menghala ke arah Sungai Petani untuk menghantar pesakit ke Hospital Pantai Amanjaya itu terbabas apabila melalui lokasi kejadian.
"Impak kerosakan tersebut telah menyebabkan ambulan gagal dikawal dan terbabas di sebelah kiri lebuh raya.
"Kesemua mangsa cedera ringan dan dibawa ke Hospital Pantai Amanjaya untuk rawatan lanjut,"katanya.
Berdasarkan siasatan awal di lokasi kemalangan mendapati pemandu telah menekan brek namun gagal mengawal kenderaan dengan baik disebabkan tayar pancit tersebut dan siasatan dijalankan mengikut Peraturan 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 166/59.