KUALA LUMPUR - Penarafan terhadap syarikat-syarikat minyak nasional (NOC) di Asia, termasuk Petronas, berada dalam kedudukan yang baik untuk mengharungi harga minyak rendah, yang disokong oleh dana negara yang kukuh, kata sebuah syarikat penarafan kredit antarabangsa.
Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Pelabur Moody, Vikas Halan berkata, perubahan penarafan untuk NOC di Asia tidak banyak walaupun harga minyak yang rendah menyukarkan metrik kredit mereka.
"Kami menjangkakan kenaikan tambahan yang disebabkan oleh sokongan dana negara dapat dimasukkan dalam penilaian kebanyakan NOC sekiranya Penilaian Kredit Asas mereka menurun," katanya dalam satu kenyataan.
Lebih-lebih lagi, NOC yang telah melindungi risiko harga untuk sebilangan pengeluaran mereka akan berada pada posisi yang lebih baik untuk menahan penurunan dalam harga minyak mentah dalam waktu yang terdekat.
"Mereka yang mempunyai simpanan tunai yang besar, seperti China National Petroleum Corporation dan Petronas, juga dapat melindungi profil kredit mereka daripada harga minyak yang rendah sekurang-kurangnya 12 hingga 18 bulan akan datang," kata Halan.
Beliau berkata, penyimpanan tunai akan menjadi keutamaan semasa persekitaran harga minyak rendah, dan NOC cenderung untuk mengurangkan pulangan pemegang saham, perbelanjaan modal dan pelaburan.
Namun, ketergantungan kepada pendapatan sektor minyak dan gas oleh beberapa kerajaan dapat mengekang kemampuan NOC masing-masing untuk mengurangkan dividen.
Selain itu, Halan menjangkakan kebanyakan NOC mempunyai mudah tunai yang kukuh dan akses yang kukuh kepada pasaran modal berikutan kepentingan strategiknya.
Pertamina milik negara Indonesia dan Petronas, masing-masing telah berjaya mengumpulkan sebanyak AS$3 bilion dan AS$6 bilion melalui pasaran hutang tahun ini.- Bernama