BENTONG - Salah sebuah pasar raya di bandar ini ditutup hari ini selepas salah seorang pekerjanya dijangkiti koronavirus (Covid-19).
Wakil kepada pasar raya itu, Nurul Natasha Nujubudin, 26, memaklumkan, pekerja lelaki tersebut didapati positif Covid-19 selepas membuat saringan pada 5 Mei lalu.
"Pihak pengurusan dimaklumkan oleh pihak kesihatan mengenainya pagi tadi selepas kesemua pekerja membuat saringan. Bermula hari ini pasar raya ini ditutup selama dua minggu," katanya kepada Sinar Harian.
Nurul Natasha juga memuat naik kiriman di Facebook Kami Penduduk Bentong mengenainya yang kemudian tular hingga mendapat pujian daripada warganet kerana kejujuran dan sikap bertanggungjawab pasar raya tersebut memaklumkan situasi berkenaan untuk panduan pelanggan.
Menurutnya, pekerja tersebut yang bertugas di bahagian belakang mungkin dijangkiti daripada pelanggan atau kenalan rapatnya kerana dia tidak pernah ke pasar borong atau mana-mana lokasi selain tinggal di atas premis itu serta tidak memiliki kenderaan.
"Saya dah hubungi pejabat kesihatan dan dimaklumkan bahawa pelanggan perlu menghubungi pejabat kesihatan sendiri sama ada perlu disaring atau tidak.
"Saya daripada pihak pasar raya ini ingin memohon maaf di atas kesulitan yang berlaku selain meminta orang ramai mendoakan kesembuhan kepada pekerja tersebut," katanya.