PUTRAJAYA - Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menggunakan tandas awam yang kotor bagi mengelak daripada dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana keadaan yang kotor akan mendedahkan lagi risiko jangkitan wabak tersebut.
"Kita nasihatkan kepada semua supaya tingkatkan kebersihan diri dan kalau tandas awam itu kotor, kalau boleh jangan guna.
"Pilihan ada pada kita dan kita juga pastikan majikan yang mengelola tandas awam untuk sentiasa laksanakan pembersihan dan nyahkuman.
"Ini penting kerana jangkitan boleh berlaku di tempat tertutup dan tidak bersih," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini sebagai mengulas sama ada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau kemudahan tandas awam yang menjadi antara lokasi berisiko jangkitan wabak tersebut.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham meminta orang ramai supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikam usaha memutuskan rantaian Covid-19.
"Usaha untuk memutuskan Covid-19 bukan terletak pada KKM atau kerajaan semata-mata tetapi apa paling penting adalah kerjasama rakyat secara keseluruhan,"katanya.