Individu terkandas sahaja boleh rentas negeri: PDRM

Iklan
Keadaan sekitar pada jam 12 tengah hari tadi di Lebuhraya Utara - Selatan kelihatan agak sibuk selepas Kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri pada hari keempat pelaksanaan PKPB. -Foto Bernama, gambar kecil: Huzir

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan hanya individu terkandas yang mendaftar di aplikasi Gerak Malaysia serta permohonan di balai polis dibenarkan untuk membuat perjalanan rentas negeri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya sudah membuat 98 sekatan jalan raya di seluruh negara dalam memastikan semua pergerakan antara negeri mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta arahan yang ditetapkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain itu, polis juga tidak mempunyai masalah untuk menambah jumlah sekatan jalan raya pada bila-bila masa bergantung kepada keperluan.

Beliau menegaskan, bagi mereka yang ingkar untuk melakukan rentas negeri dan tidak mengikut jadual yang ditetapkan, mereka akan diarah patah balik.

Iklan

"Bagi yang ambil kesempatan dan didapati melakukan kesalahan, tindakan akan diambil di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.5) 2020.

"Sekiranya didapati bersalah melanggar peraturan ini, individu itu boleh dikenakan denda tidak lebih RM1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya,” katanya dalam temubual live bersama Sinar Harian hari ini.

Iklan

Tambah Huzir, PDRM sudah menyediakan beberapa garis panduan berdasarkan analisa yang dibuat melalui sistem Gerak Malaysia.

Menurutnya, bagi yang memohon menggunakan aplikasi Gerak Malaysia, pemeriksaan akan dilakukan menggunakan QR Code pada aplikasi berkenaan bagi memastikan ketulenannya.

"Bagi yang memohon secara manual atau borang, mereka juga akan diperiksa dan bergantung kepada budi bicara ketua di SJR terlibat.

"Selain itu, aplikasi itu juga membantu PDRM bagi merancang penugasan aliran trafik dengan mengesan kesesakan di laluan tertentu dan jumlah kenderaan terlibat," katanya.

Katanya, selain itu, aplikasi ini juga penting untuk mengesan dan mengenal pasti kontak rapat yang dijangkiti Covid-19 dalam masa singkat.

"Ini akan membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melakukan saringan wabak itu,” katanya.

Mengulas lanjut pergerakan rentas negeri yang bermula hari ini, Huzir berkata, keadaan adalah terkawal.

"Hanya laluan di Tol Gombak merekodkan sedikit kesesakan dan perkara itu sudah dijangkakan,” katanya.